Politik

Anwar gesa parti kerajaan ambil iktibar teguran Sultan Perak

TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar Perak wajar diambil iktibar semua khususnya kerajaan.

Teguran yang diberikan tidak seharusnya diruanglingkupkan terhadap Perak sahaja, ia perlu diambil iktibar oleh parti-parti lain juga.

Ini kerana, Sultan Nazrin mendedahkan kelemahan politik dalam meraih sokongan bagi membentuk kerajaan sedangkan sekarang tiada parti yang mempunyai sokongan kukuh.

“Saya mengambil maklum dan menjunjung tinggi titah Sultan Perak yang mutakhir ini memberi gesaan terkait salahguna kuasa, rasuah dan percaturan elit politik.

“Saya fikir bahawa ia tidak hanya terbatas pada situasi politik di Perak, malah di peringkat Persekutuan juga.

Related Articles

“Reformasi institusi harus segera digerakkan bagi memungkinkan sebuah tatakelola yang baik dan bertanggungjawab serta tidak mengkhianati amanah dan mengabai kepentingan rakyat.”

Demikian kata Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya hari ini.

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah dengan tegas menegur kepincangan politik sehingga menyebabkan istiadat mengangkat sumpah Menteri Besar diadakan tiga kali sejak Mei 2018.

Justeru, baginda menegur hal berkenaan sebagai satu sejarah yang tidak patutb dibanggakan dan tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Titah baginda, keadaan itu bukannya kejayaan sebaliknya kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten.

Sebelum itu, krisis politik Perak mencetuskan polemik apabila usul undi percaya dikemukakan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Susulan itu, Ahmad Faizal atau Peja, gagal mendapatkan sokongan menyebabkan beliau hilang kepercayaan untuk mengekalkan kedudukan sebagai Menteri Besar.

Dalam pada itu, Anwar dalam kenyataan sama seolah-olah menyindir Pas apabila enggan menghadap Sultan Perak ketika UMNO dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain turut hadir ke Istana Iskandariah.

Katanya, pemimpin politik tidak sepatutnya membelakangkan dan merendahkan adab terhadap sultan sebagai ketua bagi setiap negeri.

“Kita juga harus dengan tegas menolak amalan kerendahan akal budi dan adab budaya termasuk terhadap Tuanku Sultan Perak.

“Menjunjung kasih titah Tuanku Sultan Perak agar negara ini harus kembali ke landasan serta garis besar perjuangan dan mengembalikan keabsahan, dan segera menghentikan imej serta gelagat ahli politik yang rakus dan tamak haloba,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button