Anwar enggan ulas SD tumbang kerajaan
Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim enggan mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor yang Perikatan Nasional (PN) mempunyai akuan berkanun (SD) mencukupi untuk menumbangkan kerajaan.
“Tidak apalah. Tak perlu komen. Saya kerja. Kalau ada kes…isu besar saya jawab,” katanya ketika ditemui dalam program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024.
Semalam, Sanusi mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan itu mengambil alih pentadbiran negara.
Bagaimanapun, ketua pengarah pilihan raya PN itu tidak memaklumkan secara terperinci termasuk jumlah SD yang diperoleh.
Sabtu lalu, media melaporkan Pejabat Ketua Pembangkang menafikan dakwaan konon Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 Ahli Parlimen daripada PN untuk menghadap bersama SD masing-masing.
Kenyataan didakwa dikeluarkan Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin seperti ditularkan di media sosial juga adalah palsu.
Kenyataan media bertarikh 6 Jan tular mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Agong
Sebelum ini, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan tindakan yang dikatakan untuk menumbangkan kerajaan dikenali “Langkah Dubai” tidak akan memberikan kesan kepada kerajaan perpaduan pimpinannya. – SM
BACA Kerajaan akan perincikan pembangunan Wakaf Madani-PM
BACA Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI tingkatkan kefahaman umum – PM