Anwar disebalik konspirasi saman agensi pelancongan, video seks – dakwa Azmin
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali membuat tuntutan balas yang difailkan oleh peguam Azmin, Tetuan Daim & Gamani, saman oleh agensi pelancongan itu disifatkan mempunyai motif tersembunyi, yang dikaitkan dengan klip video seks yang didakwa melibatkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Malaysiakini melaporkan telah melihat dokumen berkenaan dan ia merujuk kepada klip video seks berkenaan sebagai “video fitnah”.
Pemfailan itu menyatakan bahawa pemegang saham majoriti YHA Travel & Tours (M) Sdn Bhd adalah Yasmin Hanim Arbee dan suaminya Mohd Ayub Hassan merupakan pengerusi.
Pemfailan itu menyatakan bahwa pasangan suami isteri itu merupakan ibu bapa kepada individu bernama Mohd Haziq Hassan Mohd Ayub, individu yang dikatakan ditahan dalam siasatan polis berhubung klip video seks.
Tuntutan balas itu juga menyatakan bahawa Yasmin dan Mohd Ayub mempunyai “hubungan yang sangat rapat” dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim.
“Pemfailan saman ini oleh plaintif (YHA) adalah bukan untuk menjaga hak Plaintif tetapi untuk tujuan yang lain yang direka untuk mencederakan defendan (Azmin),” kata pemfailan itu.
“Konspirasi yang berkaitan dengan video-video fitnah adalah didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik,” tambahnya.
Pemfailan itu juga mendakwa penyata tuntutan YHA telah dibocorkan kepada Iaman web Sarawak Report.
“Sarawak Report tidak mungkin boleh mengetahui mengenai pemfailan writ dan penyata tuntutan ini atau mendapatkan salinan tersebut tanpa bantuan plaintif (YHA).
lni menyokong penyataan defendan bahawa terdapat tujuan lain di dalam membawa tindakan (mahkamah) ini,” katanya.
Azmin menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk ganti rugi teladan, kos; dan relif-relif lain dan selanjutnya yang akan diputuskan mahkamah.