CelotehRencah Hidup

Antara i-Sinar untuk sinaran di leher dan tangan atau mee bandung?

NORLIZA ABD. RAHMAN

RAMAI yang senyum meleret apabila tengok dalam akaun masing-masing sudah bersinar-sinar… al-maklum sudah sekian lama malap, jadi bila duit i-Sinar masuk sudah tentu membawa banyak kelegaan. Kata orang, dapatlah menampung kekurangan yang ada di saat mendesak ketika wabak Covid-19 melanda.

Namun tidak kurang juga yang memaki hamun dan marah-marah sebab sinar yang diharap tidak bersinar. Ini kerana permohonan ditolak atas pelbagai faktor. Lebih meruntun hati apabila membaca luahan mereka yang gagal dalam permohonan tersebut.

Walaupun masih boleh mengemukakan rayuan, mereka tetap merungut kerana terpaksa menyediakan pelbagai dokumen sokongan. Ia dianggap membebankan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah membataskan aktiviti harian mereka untuk menguruskannya.

Dalam keperitan segelintir rakyat hendak meneruskan kehidupan dek penangan PKP 2.0, ternyata masih ramai yang nampaknya mampu meneruskan minat membeli emas sebagai koleksi baharu.

Buktinya kedai-kedai emas tetap diserbu peminat emas, urusan jual beli tetap aktif seperti biasa. Masing-masing tersenyum puas apabila pulut dakap, biskut tawar, bunga jagung dan bunga durian melekap erat di tangan dan di leher mereka. Fuh… bersinar leher dan tangan ya cik kak!

Related Articles

Jika diikutkan minat, memang ramai yang berminat nak membeli emas namun Mak Teh percaya, desakan hidup membataskan kehendak kebanyakan orang untuk meneruskan keinginan tersebut kerana ia bukanlah menjadi keutamaan.

Seorang rakan berkata, lebih baik dia beli beras dan barang keperluan dapur untuk mengisi perut isteri dan lima anaknya yang masih bersekolah.

Biarpun sebelum ini dia berjawatan besar namun apabila syarikat tempat dia mencari rezeki terpaksa potong gaji sehingga 50 peratus maka terpaksalah dia merombak segala-galanya agar kehidupan dapat diteruskan.

“Aku down sangat-sangat, mujurlah ada i-Sinar so dapatlah tampung perbelanjaan harian. Tapi bayangkan anak-anak nak belajar online dah tentu nak berkongsi laptop… kalau tak pasang WiFi mesti line sangkut-sangkut.

“Aku kenalah cari handphone murah-murah untuk dia orang. Tak kan nak beli laptop sorang satu walaupun aku tahu ia dah jadi satu keperluan,” luahnya pada Mak Teh.

Menurut rakan Mak Teh itu lagi, dia terpaksa menjual salah satu kereta nya dan mengehadkan perbelanjaan harian namun hatinya agak ‘terusik’ bila melihat ramai yang membeli emas di saat-saat sukar.

“Aku bukan dengki pun dengan dia orang, itu rezeki masing-masing. Bila ada kemampuan belilah. Lagi pun tak rugi beli emas ni. Mungkin kerja mereka masih stabil dan komitmen dia orang tak sehebat aku dan ratusan ribu lagi yang terjejas,” katanya.

Mak Teh bersetuju dengan pandangan kawan tu sebab beli emas memang tak rugi malah sangat membantu bila terdesak. Tapi tak kurang juga yang mengecam bila yang membeli tu sengaja menunjuk-nunjuk, siap ‘mention ‘ tu duit i-Sinar.

Maka berbalas-balaslah di media sosial… Eh, duit aku suka hati akulah, bukan minta duit kau orang pun. Aku dah penat keja masa ni lah nak reward diri sendiri. Begitulah manusia, walau apa pun yang terlihat di mata ada saja yang tak kena, itu salah, ini tak betul.

Kadang-kadang kita kena tolak tepi apa orang cakap sebab yang melaluinya kita sendiri bukannya mereka. Yang nak pakai kita bukan mereka…. ah, gituuuu…

Begitu juga kalau orang minta pendapat kita jadi barulah kita lontarkan pandangan dan nasihat. Itu pun belum tentu orang yang minta nasihat tu nak dengar. Lantak dialah janji nasihat yang kita beri tu boleh membawa manfaat dan kebaikan.
Ok, jom masuk dapur minggu ni kita masak mee bandung.

Bahan-bahannya:

3 labu bawang besar

5 ulas bawang putih

1-2 senduk besar cili kisar

1 mangkuk udang geragau kering

1 mangkuk kecik udang kering

Udang (kulit udang dikisar dan ambil airnya)

Daging (rebus ambil airnya dan hiris daging)

Telur

Tauhu

Sayur sawi

Air rebusan daging & udang

Minyak untuk menumis

Kacang tanah disangai dan ditumbuk halus

Garam

Gula

Perasa (jika suka)

Mee kuning

Cara-caranya:

Tumis bawang putih dan bawang merah sehingga pecah minyak,  masukkan cili kisar dan kacau sehingga garing. Masukkan udang kering dan udang geragau yang sudah dikisar halus kacau seketika. Masukkan air rebusan daging dan udang serta kacang tanah.

Masukkan tauhu, sayur sawi, daging dan udang. Bubuh garam, gula dan perasakan dan masukkan telur.

Nak pekatkan kuah boleh masukkan biskut marie yang dikisar halus. Selamat mencuba. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button