Annuar nasihatkan rakan UMNO jangan sombong, terima realiti
KETUA UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa menasihatkan rakan-rakan dalam partinya untuk tidak bersikap sombong dan menerima realiti politik bahawa parti itu tidak boleh bersendirian.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, UMNO memerlukan rakan politik yang strategik yang tidak semestinya digemari oleh parti itu.
“Mungkin kita tak suka tapi jika dasarnya sama, fahaman sama, halatujunya sama tak salah kita berkerjasama.
“Jangan takut dengan bayang-bayang atau polong rekaan. Takutkan kucing peliharaan tapi menyerah pada serigala di hutan. Jangan pula diambilnya musuh yang nyata tapi tolak kawan yang setia,” kata Annuar.
Beliau meminta agar rakan dalam UMNO tidak mendengar hasutan pihak yang berada di sekeliling mereka sebaliknya memberi perhatian terhadap kehendak rakyat.
Ini kerana akhirnya yang akan menentukan kedudukan sesuatu parti dibuat oleh rakyat.
Justeru beliau meminta pemimpin UMNO untuk berlaku jujur dan tidak mengkhianati apa sahaja keputusan yang dibuat secara bersama.
“Jangan lupa untuk mendengar suara rakyat. Jangan hanya dengar bisikan para memanda keliling pinggang yang cari makan atau sering diumpan atau warlords yang kalah berperang atau tak pernah menyumbang.
“Yang mengundi itu rakyat dengar suara rakyat walau bisikannya tidak lantang.
“Jangan belakangkan keputusan parti yg dibuat bersama. Jangan depan lain belakang lain, pepat di luar rencong di dalam,” kata Annuar.
Beliau turut menasihatkan pemimpin UMNO agar menjaga nama baik parti dan menyayangi UMNO dengan terus memberi perkhidmatan dengan baik, jujur dan beramanah.
Selain itu Annuar juga meminta rakan-rakan dalam UMNO untuk jauhkan perbuatan rasuah dan sifat sombong yang dibenci oleh rakyat.
“Buat teman seperjuangan, sayangi parti kita dengan terus berkhidmat dengan baik, jujur dan beramanah.Jaga nama baik parti.
“Rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa, sombong, ego dan lain-lain yang dibenci rakyat jangan kita mendekatinya,” kata Annuar.-SM