Politik

Annuar ajak pemimpin Islam muzakarah, henti benci kerajaan

KEHADIRAN bulan mulia Islam Ramadan perlu digunakan oleh pemimpin Melayu dan Islam untuk bermuzakarah dan memantapkan kerjasama antara mereka.

Ajakan itu dibuat oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa. Menurutnya, pemimpin Islam dan Melayu perlu bermuafakat bagi membentuk kestabilan politik dan memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

Pemimpin UMNO itu berkata, hanya dengan bermuafakat akan mengembalikan semula kekuatan dalam kalangan orang Islam dan Melayu.

Beliau menegaskan, pertelingkahan dalam kalangan pemimpin Islam dan Melayu hanya akan mengembirakan musuh politik.

“Pemimpin Islam harus mempamerkan daya kepimpinan yg tinggi lagi di hormati. Hanya Muafakat yang akan mengembalikan kekuatan. Perpecahan hanya mengembirakan musuh politik.

“Pandang kehadapan. Letakkan kepentingan ummah di hadapan. Sementara itu jangan berlengah dalam melaksanakan agenda membela agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau juga menyeru pemimpin Islam dan Melayu untuk mengambil kesempatan kehadiran bulan Ramadan untuk saling bermaafan.

Serentak itu Annuar meminta semua gerakan yang mahu mewujudkan kebencian terhadap kerajaan perlu dihentikan.

Pihak yang menyebarkan kebencian itu katanya, boleh menyumbang idea untuk membangunkan negara secara proaktif dan konstruktif

“Kita berada di bulan keampunan dan kemaafan. Elok kita pupuk budaya saling memaafkan. Elok dihentikan gerakan sengaja membenci kerajaan kepada sikap proaktif dan konstruktif dalam membawa idea dan gagasan utk negara.

“Kritikan berasaskan fakta dangkal dan separa benar, tidak membantu sesiapa. Lebih elok sama sama kita fikirkan apa lagi yg boleh kita lakukan demi kepentingan nasional. Kita pastikan bersama bahawa kita mesti berjaya,” katanya.

Annuar bagaimanapun tidak menyebut secara tepat pihak yang diminta untuk bersatu padu. Terdapat beberapa parti yang mempunyai majoriti ahli Melayu dan Islam yang dipimpin oleh umat Islam. Parti tersebut termasuk UMNO, Bersatu, Pas, Amanah, PKR, Warisan, Pejuang dan beberapa parti lain.

Bagaimanapun pemimpin Islam dan Melayu dalam UMNO, PKR dan Amanah seringkali mengeluarkan kenyataan yang menegur kesilapan yang dilakukan oleh Kerajaan.

Antara teguran yang dibuat termasuk mahu Kerajaan menamatkan segera darurat yang didakwa mengganggu perjalanan demokrasi negara dan menyekat wakil rakyat berbahas mengenai situasi negara di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button