Nasional
Angkatan Tentera Malaysia maafkan Asri Janggut
ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) memaafkan pengasas Hot Burger, Mohd. Asri Hamid kerana ketelanjuran kata-katanya yang memberi gambaran negatif terhadap warga tentera.
Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut sebelum mengeluarkan kenyataan yang mempersoalkan ibadah warga polis dan tentera yang sekaligus mendapat respon negatif orang ramai.
ATM dalam kenyataannya berkata, sebagai seorang manusia biasa, sememangnya kita tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.
“ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan yang disiarkan di media sosial Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada 12 Ogos lalu.
“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat supaya sentiasa peka dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan.
“Kita juga perlu berhati-hati dalam memberikan pandangan mahupun apa jua ulasan tanpa sebarang rujukan atau fakta yang boleh mencetuskan sebarang polemik,” katanya.
Tambahnya, ATM juga berharap perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa mendatang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara ini di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua.
BACA> Dakwaan tak solat itu keterlaluan -KPN
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang (TUDM) menyifatkan kenyataan tersebut sebagai keterlaluan dan mengguris hati warga ATM terutama mereka yang muslim. -SM