Angkasa saran silibus keusahawanan koperasi diterapkan di IPTA, IPTS
ANGKASA menyarankan dan memohon supaya Kementerian Pengajian Tinggi mempertimbangkan silibus keusahawan koperasi dapat dijadikan subjek teras mahupun elektif atau sekurang – kurangnya satu
topik dalam modul keusahawanan di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Saranan itu dibuat oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN CO-operative
Organization (ACO), Datuk Abdul Fattah Abdullah ketika merasmikan sesi webinar
bertajuk ‘Hala Tuju Gerakan Koperasi Siswa Institut Pengajian Tinggi’ yang telah diadakan
secara dalam talian hari ini.
“Ilmu keusahawanan koperasi amat penting diterapkan ke dalam diri para siswazah
kerana melalui platform koperasi mereka mendapat ilmu bagaimana untuk menubuhkan
perniagaan secara bersama berbanding dengan kerja makan gaji yang seperti kita lihat
pada hari ini agak terhad akibat penularan wabak COVID-19.
“ANGKASA mahu golongan siswa lebih bersedia dengan ilmu keusahawanan koperasi kerana bukan sahaja bakal
mendapat manfaat dari perniagaan malah membuka banyak peluang sosioekonomi kepada pelbagai lapisan komuniti,” katanya.
Presiden ANGKASA juga mejelaskan bahawa gerakan koperasi juga memerlukan sentuhan inovasi daripada golongan belia yang dapat memberi memberi nafas baharu agar kekal relevan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi yang dinamik.
“Penglibatan golongan ini dapat membantu mengurangkan masalah sosial melalui aktiviti
penjanaan ekonomi yang memberi impak postitif bukan sahaja kepada diri mereka malah
kepada masyarakat setempat,” katanya
Sehingga 31 Disember 2020, terdapat 208 buah koperasi siswa dengan keanggotaan
seramai 161,662 orang; modal syer/yuran melebihi RM170.3 juta; aset melebihi RM579.4
juta dan menyumbang perolehan melebihi RM192.1 juta. Manakala menurut Kementerian
Pengajian Tinggi terdapat 597 buah Institut Pengajian Awam dan Swasta di seluruh
negara.
“Peranan golongan ini sangat diperlukan buat masa ini untuk membantu membangunkan
semula sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan ANGKASA juga
secara berterusan mengadakan kerjasama erat dengan Kementerian Pengajian Tinggi,
Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia dalam mempelbagai
strategi bagi menambah bilangan koperasi siswa dan menarik golongan itu menubuhkan
atau menyertai koperasi.” Jelas Abdul Fattah.