Mahkamah

Anggota RELA terima padah sebar gambar lucah

TINDAKAN mengikut nafsu tanpa memikir kesan dan akibat akhirnya membawa padah kepada seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dia dihukum penjara seminggu dan denda RM1,000 oleh Mahmakah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menyebarkan gambar lucah rakan wanita sekerjanya pada bulan lalu.

Hukuman tersebut dijatuhkan Majistret Wong Chai Sia terhadap Syahrul Anuar Razuan, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara seminggu dari tarikh tangkap 1 Jun lepas.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Sebelum itu, dia didakwa menyebar gambar lucah seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah rumah di Jalan Ang Seng, Brickfields, Kuala Lumpur pada pukul 3.45 petang, 31 Mei lalu.

Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara kerana perbuatan tertuduh telah memberi kesan buruk kepada mangsa.

“Mahkamah perlu mempertimbangkan hukuman penjara untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya kejadian seperti ini tidak berulang pada masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button