KebakaranKemalangan

Anggota bomba meninggal dunia selepas parah dalam letupan

Seorang anggota bomba yang cedera parah akibat letupan ketika operasi memadam kebakaran sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Johor kelmarin meninggal dunia pada pukul 4.15 pagi tadi.

Pegawai Bomba Mohd. Firdaus Sulaiman, 32, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat  menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahya Madis menerusi laman rasmi Facebook Bomba Johor sebentar tadi.

Difahamkan, jasad Allahyarham Mohd. Firdaus yang sudah mendirikan rumah tangga akan dibawa pulang ke kampung halaman di Sikamat, Seremban di Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.

Mangsa telah ditugaskan memadam kebakaran di kilang berkenaan  pada pukul 5.15 pagi, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi ketika operasi pemadaman masih dijalankan, berlaku satu letupan di tingkat tiga bangunan kilang yang menyebabkan runtuhan pada struktur bangunan itu.

Letupan menyebabkan Mohd. Firdaus dan seorang lagi anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40, cedera parah selepas tercampak kira-kira 10 meter ke tingkat bawah.

Dalam kejadian sama, seorang lagi Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Syed Putra Syed Mohd. Al Atas, 52, yang berada di tingkat bawah melecur di belakang kepala akibat terkena bahang letupan.

Ekoran insiden itu, Allahyarham Mohd. Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat, manakala Syed Putra menerima rawatan sebagai pesakit luar.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button