Anggaplah tiada rezeki jadi calon PKR ya Rafie Malik!
Nama digugurkan bukan kerana lantang kritik parti-Rafizi
SEMALAM hari penamaan calon dan tentunya mana-mana individu yang berangan namanya dicalonkan tetapi hampa, menjadi bahan bukan sahaja untuk parti tetapi pengamal media yang mengikuti perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) berbunyi terus apabila nama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dikhabarkan digugurkan sebagai calon di PRN Negeri Sembilan.
Mendengarkan desas-desus yang kurang enak di halwa telinga maka Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan bahawa bekas Adun Ampangan itu digugurkan pada PRN kali ini kerana lantang mengkritik parti.
Hah! Itulah bahayanya kalau keterlaluan mengkritik parti kerana perbuatan itu umpama menepuk air di dalam dulang, mercik kena ke muka sendiri.
Tidak faham dengan peribahasa di atas, ada satu lagi peribahasa yang memang tepak digunakan andaikata keterlaluan mengkritik parti sendiri.
Nak tahu apakah peribahasa Melayu yang seterusnya? Bunyinya begini: Meludah ke langit, kena batang hidung sendiri!
Ya benarlah Rafizi menafikan khabar angin yang mengatakan nama Rafie Malik digugurkan daripada menjadi calon di Ampangan pada PRN kali ini.
Mungkin bimbang kenyataannya itu tidak diterima bulat-bulat oleh penyokong Rafie Malek, Rafizi tampil menjelaskan, ada juga pemimpin lantang mengkritik parti.
Namun dikekalkan pucuk pimpinan yang membuat pelbagai pertimbangan sebelum dimuktamadkan oleh Presiden PRK sendiri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Tidak. Bukan sebab Rafie lantang mengkritik. Yang lain gugur juga. Ada yang mengkritik kasar tetapi dikekalkan.
“Kalau tengok PKR kali ini, tidak timbul soal itu. Kita memerlukan Wanita pada PRN kali ini,” kata Rafizi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri jelajah Madani DUN Sikamat, malam tadi.
Semalam, Rafie Malik membuat kejutan apabila tampil sebagai calon Bebas di DUN Ampangan.
DUN Ampangan pada PRN Negeri Sembilan ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang membabitkan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Ghazali Zainal Abidin dari Perikatan Nasional serta Rafie Malik sendiri.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu, Rafie yang mewakili PH telah menang di kerusi Ampangan itu dengan majoriti 1,360 undi.
Sedihnya keahliannya dalam PKR digugurkan secara automatik berikutan tindakannya menjadi calon DUN Ampangan atas tiket Bebas.
Berikut catatan Rafie di Facebook yang meluahkan apa yang dirasainya apabila namanya tidak dicalonkan oleh PKR pada PRN Negeri Sembilan.