Angeline Tanya Abang Jawab didik mualaf tentang kefahaman agama islam di TV AlHijrah
STESEN TV AlHijrah dengan bangga memperkenalkan sebuah program baharu yang dinanti-nantikan, Angeline Tanya Abang Jawab, sebuah rancangan interaktif yang menggabungkan elemen agama, hiburan, dan pendidikan.
Program ini bertujuan memberikan panduan kepada Saudara Baharu untuk mendalami asas-asas agama Islam.
Rancangan ini akan disiarkan bermula 18 September, setiap Rabu jam 8.30 malam, dengan menampilkan pelakon terkenal Angeline Tan dan suaminya, Sabri Yunus.
Mereka akan berinteraksi dalam perbincangan mengenai pelbagai isu agama, kehidupan, dan sosial, menjadikan perbincangan lebih santai tetapi penuh manfaat.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata stesen tersebut memikul tanggungjawab besar dalam mendekati golongan Saudara Baharu di Malaysia.
“TV AlHijrah berperanan mengisi kelompongan pedagogi dalam dakwah era moden ini. Program ini diterbitkan untuk memberi pandangan mendalam mengenai nilai-nilai keagamaan dan kekeluargaan, sambil menjadikan proses pembelajaran buat golongan mualaf lebih menyeronokkan.”
“Setiap soalan yang dibangkitkan oleh Angeline kepada Sabri Yunus adalah soalan yang sering diajukan oleh golongan mualaf, seperti persoalan mengenai fardu ain dan fardu kifayah, tanggungjawab dalam rumah tangga dan keluarga, amalan ibadah, etika pemakaian dalam Islam, dan hubungan antara Muslim dan bukan Muslim”. Katanya.
Tambahnya lagi, program ini diharapkan dapat menyampaikan pesan-pesan kebaikan secara jelas dan mempromosikan keharmonian keluarga Muslim. Dengan adanya elemen humor yang diselitkan oleh Sabri Yunus dan penjelasan daripada barisan asatizah, konsep Islam sebagai agama yang penuh kasih sayang dapat diserap lebih baik oleh penonton.
Setiap episod juga akan menampilkan segmen di mana Angeline bersama panel pakar jemputan membincangkan topik-topik relevan dan menawarkan penyelesaian praktikal berlandaskan ajaran Islam. Antara asatizah yang terlibat termasuk Ustaz Harryanto Rizal Rokman, Ustaz Azhar Ghazali, Ustaz Zul Ramli, dan Imam Muda Asyraf.
Program ini disusun rapi untuk merangkumi isu-isu yang sering dihadapi oleh masyarakat, terutama golongan mualaf, seperti hal kekeluargaan, akhlak, dan panduan menghadapi cabaran kehidupan moden. Walaupun khusus untuk Saudara Baharu, program ini juga sangat sesuai ditonton oleh seluruh masyarakat Malaysia, terutamanya golongan muda dan keluarga yang ingin mendapatkan pencerahan tentang pelbagai isu kehidupan dan nilai-nilai Islam.
Jangan ketinggalan menyaksikan siaran perdana Angeline Tanya Abang Jawab pada 18 September hanya di TV AlHijrah. Program ini juga boleh ditonton melalui aplikasi AlHijrah Plus dan media sosial. Rancangan ini akan disiarkan sebanyak 13 episod dengan ulangan empat kali seminggu.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, layari laman sesawang TV AlHijrah atau ikuti saluran media sosial mereka.