ANDALUSIA Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia Travel) buat julung-julung kalinya akan melancarkan Pakej Umrah Rahmah CSR. Setiap tahun Andalusia membawa seramai lebih kurang 50,000 orang jemaah umrah menggunakan semua jenis penerbangan ke Jeddah atau Madinah dan semua jemaah Andalusia akan menginap dalam pelbagai jenis hotel ekonomi atau mewah di Makkah atau Madinah.
Pada musim umrah 1444H yang lepas, Andalusia telah memulakan pakej umrah Rahmah secara ad-hoc bagi tujuan membantu hampir 10,000 orang jemaah Andalusia yang tertangguh pada tahun 2020 disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan juga bagi membantu anak-anak menghantar ibu ayah yang ingin menunaikan umrah untuk kali pertama tetapi tidak mampu membayar dengan harga semasa.
Program ini mendapat sambutan yang amat baik, sebanyak lebih kurang 1000 tempat duduk semuanya dipenuhi walaupun dibuat secara tidak terancang. Setiap tahun, mengikut laporan statistik dalaman, Andalusia boleh mencapai jualan sehingga 95% dari semua hotel serta tiket penerbangan yang ditempah dari awal.
Sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil pulangan yang diperolehi oleh Andalusia, maka baki tidak melebihi 5% dari hotel serta tiket penerbangan yang ada akan dikongsi dengan golongan B40 yang kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah pada harga semasa dalam bentuk pakej Umrah Rahmah yang di kurangkan sehingga RM1400 dari harga pakej ekonomi biasa.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undangnya, Ida Riswana Idris berkata Andalusia melihat program ini sebagai salah satu dari langkah CSR (corporate social responsibility) syarikat bagi menyahut saranan dari Kerajaan Malaysia Madani. Majlis Pelancaran Pakej Umrah Rahmah CSR Andalusia di Wisma Andalusia petang semalam.
“Pada musim 1445H ini, Andalusia bercadang untuk memperuntukkan sebanyak 2200 seat untuk pakej Umrah Rahmah yang bermula dari harga RM5,590 bersama penerbangan Air Arabia bagi membantu golongan yang kurang mampu untuk ke Tanah Suci.”
“Selain dari pakej Umrah Rahmah tersebut, Andalusia juga mengadakan program CSR Umrah Asnaf denganmenghantar asnaf secara percuma setiap tahun seramai lebih kurang 500 orang. Projek Umrah Asnaf yang terdekat ialah bersama dengan Menteri Besar Pahang dan Pegawai Daerah Pekan iaitu pada 2hb Ogos 2023 ini.” kata Ida lagi.
Walaupun pakej Umrah Rahmah ini mendapat diskaun RM1400 seorang, Andalusia tidak menanggung kos defisit atau kerugian yang besar kerana adanya kos-kos guna sama yang dikeluarkan dari sebut harga asal setiap pakej.
Kos guna sama ini ialah kos kekal yang sepatutnya dibelanjakan untuk jemaah umrah Andalusia yang lain dan tidak perlu dikenakan pada group pakej Umrah Rahmah ini. Manakala untuk kos Umrah Asnaf, ianya ditanggung sepenuhnya oleh Andalusia.
Ida berharap lebih ramai syarikat travel agensi umrah turut mewujudkan pakej Rahmah setakat yang mampu supaya ramai lagi umat Islam di Malaysia yang berpeluang menunaikan umrah untuk mendekati Baitullahil Haram dan menziarahi Maqam Rasulullah SAW.
Rata-rata impian umat Islam di Malaysia ialah untuk pergi ke Tanah Suci sebelum meninggal dunia sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Adalah diharapkan dengan pakej Umrah Rahmah ini boleh menjadi wadah utama bagi mereka memenuhi impian tersebut. – SM
Artikel berkaitan > GO Umrah bekerjasama dengan AMAL tawar pakej Umrah menarik