Nasional

Anak muda disaran ceburi pengeluaran lateks

GOLONGAN belia disaran melibatkan diri sebagai pekebun dan penoreh dengan menghasilkan lateks atau susu getah bagi memperoleh pendapatan yang lebih baik serta mengurangkan kebergantungan negara kepada pengimportan bahan itu.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pada ketika ini rata-rata pekebun dan penoreh telah berusia 50-an serta lebih banyak menghasilkan getah sekerap dan tidak mustahil dalam masa 10 tahun nanti jumlah mereka semakin mengecil kerana dibatasi usia.

“Ini kerana penghasilan lateks memerlukan mereka menoreh pada waktu pagi dan kemudiannya terus mengambil susu getah pada hari yang sama…bukan seperti getah sekerap yang boleh dibiarkan semalaman,” katanya hari ini.

Beliau berkata, harga pasaran lateks juga agak tinggi iaitu kira-kira RM4 sekilogram berbanding getah sekerap yang hanya sekitar RM2.50 sekilogram dan terdapat permintaan tinggi terhadap lateks untuk  menghasilkan pelbagai produk.

Mohd. Khairuddin berkata, bagi memastikan penyertaaan lebih ramai anak muda, kerajaan kini giat membuat perancangan serta menjejak anak muda yang berminat dengan memberi latihan termasuk dalam bidang teknologi getah di Sungai Buloh, Selangor dan beberapa tempat lain bagi memastikan legasi penoreh dan pekebun getah tidak berakhir .

Sementara itu, menerusi pelancaran RRIMniaga, pihaknya menyasarkan peningkatan tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk menstabilkan pendapatan pekebun kecil ketika penurunan harga komoditi itu.

Aplikasi dalam talian telefon pintar itu menuntut seramai 2,600 peraih berlesen di seluruh negara merekodkan transaksi urus niaga getah, yang kemudiannya membolehkan pihak kerajaan mengesan pekebun kecil yang layak mendapat manfaat IPG.

“Penggunaan aplikasi tersebut akan diwajibkan mulai 1 Januari 2021 dan kini sudah boleh diakses oleh semua peraih…bantuan juga akan disalur terus ke akaun pemohon. Ia dijangka memudahkan semua pihak dan sekali gus membantu menjaga kebajikan dan menjamin pendapatan pekebun ketika harga getah jatuh,” katanya.

Menurut Mohd. Khairuddin, setakat ini hanya sekitar 70,000 hingga 80,000 daripada 457,000 pekebun yang menuntut IPG sedangkan kerajaan bersedia membantu mengurangkan beban mereka.

Jumlah penuntut IPG yang kecil itu dikatakan berpunca daripada ketiadaan maklumat lengkap dan pekebun kecil gagal mengisi borang yang telah ditetapkan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button