Ambil Peluang tempoh PKP Tingkatkan Kebersihan – Raja Muda Perlis
Rakyat negeri ini disaran agar mengambil peluang ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 ini untuk terus meningkatkan lagi aspek kebersihan kawasan rumah masing-masing ke arah merealisasikan hasrat menjadikan semua halaman rumah di Perlis sentiasa indah dipandang dan tersusun rapi.
Semua pihak sewajarnya tidak mensesiakan peluang terbaik ini dan amatlah tidak wajar sekiranya masih ada di kalangan mereka di yang tidak terlibat dengan penugasan di barisan hadapan secara langsung ataupun tidak langsung untuk tidak ambil peduli bagi meluangkan masa mencuci dan menyelenggara kawasan halaman rumah masing-masing dengan memotong rumput lalang, merapikan pokok, mencuci saluran air dan menyapu daun daun yang luruh.
Demikian titah harapan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalaullail selepas berkenan menerima persembahan buah tamar daripada pengurusan Primabumi Group di Galeri DiRaja Arau.
Menurut baginda, amalan membersih, menguruskan serta menjaga persekitaran rumah masing-masing boleh dijadikan sebagai aktiviti yang sihat dan menyeronokkan buat seisi keluarga.
Jika sebelum ini kebanyakan daripada mereka yang bekerja begitu sibuk di tempat bertugas serta aktiviti luar yang lain, namun hari ini dalam tempoh PKP lebih banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga. Justeru, tiada alasan untuk setiap ketua keluarga tidak mengambil tanggungjawab untuk mengajak seluruh famili melaksanakan aktiviti membersihkan kawasan rumah secara bersama-sama.
Kerja-kerja ini juga boleh dibahagi-bahagikan mengikut keutamaan dan bahagian masing-masing. Kerja-kerja yang dilakukan secara bersama dan berkumpulan ini akan lebih cepat, mudah dan menyeronokkan bak kata pepatah “ringan sama dijinjing, berat sama dipikul”.
Ahli keluarga juga boleh menyumbangkan idea serta cadangan mereka bagi menambahbaik serta memperindahkan lagi setiap kawasan yang ada. Selain itu, sebarang ruangan yang diubahsuai ini akan berfungsi dengan lebih baik kerana ia lebih kemas, tersusun dan bersih serta mampu memberi lebih ketenangan.
Tambah Tuanku Raja Muda Perlis lagi, selain membersih, mencuci, mengelap dan menyah kuman jika perlu, aktiviti lain juga boleh dilaksanakan bagi menjadikan halaman rumah lebih cantik dan berseri jika mampu antaranya dengan mengecat semula dinding serta membaiki peralatan dan perabut luar yang rosak. Bagi mereka yang mempunyai kawasan halaman yang lebih luas bolehlah menanam buah-buahan dan sayuran untuk kegunaan keluarga, malahan dijual bagi menghasilkan sumber pendapatan tambahan selepas ini.
Segalanya tidak seperti dahulu kerana kini adalah amat mudah untuk dipelajari sama ada melalui bahan bacaan seperti majalah ataupun carian pautan berkenaan hiasan dalaman, hiasan landskap atau aktiviti hasil sendiri yakni ‘Do It Yourself (DIY)’ di internet, perkongisan di Facebook, WhatsApp dan juga saluran Youtube, titah baginda.
Walaupun Covid-19 merupkan masalah utama kita sekarang ni, namun kita semua tidak boleh lupa bahawa demam denggi yang disebar melalui nyamuk aedes juga mudah dijangkiti dengan kawasan persekitaran yang tidak terurus, kotor dan air yang bertakung, memandangkan hujan hampir setiap hari turun sekarang ini.
Bagi kita yang beragama Islam pula, masa ini amat sesuai untuk memperindahkan suasana rumah sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri walaupun lebaran kali ini akan disambut berbeza sesama ahli keluarga di rumah masing-masing tanpa sahabat handai bertandang. – SM