Hiburan

Wak Doyok didakwa guna lambang Kemahkotaan Sultan Johor tanpa kebenaran

WAK DOYOK dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, hari ini atas pertuduhan menggunakan tanpa kebenaran bertulis, lambing Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Personaliti yang pernah dikaitkan dengan bekas isteri Sultan Brunei itu menggunakan lambang berkenaan bagi tujuan persendirian pada akhir bulan lalu.

Memetik laporan BERNAMA, Wak Doyok atau nama sebenarnya, Mohd. Azwan Md Nor, 41, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Wan Mohd Norhisham Wan Yaakob.

Tertuduh didakwa membuat kesalahan itu di pejabat Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 30 April kira-kira pukul 2.15 petang.

Wak Doyok yang juga ahli perniagaan didakwa  melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3 (1) (a) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) enakmen yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara minimum setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad memohon mahkamah untuk menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah satu kesalahan yang serius.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Syaffie Naim dan MN Halim Md Amin memohon agar wang jaminan dikurangkan.

Alasan diberikan, pendapatan tertuduh telah terjejas berikutan wabak COVID-19 dan dia masih menjaga ibunya yang berusia 78 tahun.

Wan Mohd Norhisham kemudiannya memerintahkan Wak Doyok membayar wang jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin.

Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 Jun depan bagi penyerahan dokumen.

Terdahulu, Wak Doyok yang berkemeja batik coklat tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru kira-kira pukul 9 pagi.

Personaliti itu baru-baru ini mengundang kontroversi susulan tindakannya menempah dan membeli cincin dengan ukiran lambang peribadi Sultan Ibrahim  pada tahun 2018 melalui dalam talian daripada sebuah syarikat di Indonesia. – BERNAMA

 

Tags

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button
Close
Close