Amang seksual: Remaja bawah umur terlepas hukuman penjara
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 7 Julai – Seorang remaja lelaki terlepas hukuman penjara apabila diperintah menjalani pemulihan di Sekolah Henry Gurney (SHG) di Telok Mas oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan, dua tahun lalu.
Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh yang juga pesalah muda dan mensabitkannya dengan pertuduhan.
Mohd Sabri berkata, mahkamah juga menimbangkan cadangan pegawai akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya tertuduh yang juga pesalah muda ditahan di SHG sehingga berusia 21 tahun.
Beliau turut mengesyorkan kepada tertuduh untuk menjalani kaunseling dan diletakan di bawah pengawasan polis.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 16 tahun empat bulan ketika kejadian.
Tertuduh telah memeluk dan meraba badan mangsa di sebuah rumah di Taman Seri Mas di sini, pada 21 Mac 2020, kira-kira pukul 3.00 pagi.
Dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-
Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan.
Peguam Loong Meng Si berkata, anak guamnya ditahan reman sejak 4 Jun 2020 berikutan ibu bapanya tidak mampu membayar ikat jamin.
“Ketika kejadian tertuduh berusia 17 tahun 10 bulan dan sepanjang dua tahun dalam reman, dia berasa seperti hilang arah dan jiwa tersiksa kerana tidak melakukan apa-apa kecuali tidur dan makan sahaja,” ujarnya.