JenayahNasional

Amang seksual dua beradik yatim piatu: Kakitangan pusat jagaan ditahan

POLIS menahan seorang kakitangan pusat jagaan anak yatim di Ipoh, Perak untuk membantu siasatan kes amang seksual membabitkan dua beradik lelaki berusia 13 dan 10 tahun yang juga penghuni pusat  di situ.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, ACP Anuar Othman berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan Jumaat lalu selepas polis menerima laporan kejadian daripada bapa saudara mangsa.

Anuar berkata, perbuatan jijik suspek terbongkar selepas bapa saudara melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan selain berubah sikap dan emosi ketika dibawa bercuti ke rumahnya di Kampung Kepayang, Ipoh.

Menurutnya, apabila ditanya, kedua-dua mangsa memberitahu yang mereka dicabul dan cuba diliwat oleh suspek di beberapa lokasi termasuk di bangunan lama dan asrama baharu pusat jagaan itu serta ketika dibawa bercuti ke Cameron Highlands.

“Kedua-dua mangsa menceritakan kejadian pertama kali dicabul semasa mereka bersama dua lagi rakan diajak bercuti ke Cameron Highlands selama satu bulan pada awal November tahun lalu.

“Kejadian itu kemudian berlarutan banyak kali dan kali terakhir pada April lalu apabila mangsa cuba diliwat oleh suspek di sebuah rumah di Bandar Seri Botani, Ipoh,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Anuar berkata, kedua-dua mangsa sudah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk pemeriksaan.

Katanya lagi, polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek selama lima hari bermula Sabtu lalu sebelum disambung tiga hari lagi sehingga 5 Jun ini untuk siasatan mengikut Seksyen 14 (a) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button