Nasional

Jawatankuasa Khas semak NGO sebelum dibenar buat misi kemanusiaan di Palestin

SEBUAH Jawatankuasa Khas diwujudkan bagi membuat semakan terhadap latar belakang badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di Palestin sebelum dibenarkan membuat permohonan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan secara maya dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pagi tadi.

Jawatankuasa Khas tersbeut akan dipengerusikan bersama oleh dua orang menteri iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Jawatankuasa itu dibentuk berikutan terdapat banyak permohonan daripada melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin terutamanya di Gaza susulan gencatan senjata pada 21 Mei 2021.

“Hanya apabila permohonan mereka diluluskan, Kabinet bersetuju agar Kementerian Luar Negeri membantu dalam memudahkan perjalanan NGO-NGO tersebut ke Palestin,” kata kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Takiyuddin dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Selain membuat semakan Jawatankuasa Khas tersebut akan mengkoordinasikan semua NGO terbabit di bawah satu prosedur operasi standard permohonan yang sama.

Jawatankuasa Khas itu akan mempermudahkan permohonan sekiranya NGO terbabit memenuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Dengan ketetapan ini, ia bermakna bahawa setiap NGO yang mahu melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke Palestin hendaklah membuat permohonan hanya melalui dua Kementerian yang mempengerusikan Jawatankuasa Khas ini,” katanya.

Kementerian Luar Negeri akan menumpukan terhadap koordinasi dengan semua negara terlibat supaya NGO-NGO yang melaksanakan misi bantuan kemanusiaan mematuhi setiap SOP serta peraturan yang ditetapkan negara terbabit.

Kementerian Luar Negeri ketika ini menasihatkan NGO terbabit agar melakukan perjalanan ke Palestin hanya melalui dua negara iaitu Mesir dan Jordan.-SM

 

 

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button