Amalkan pemakanan sihat ketika raikan Aidilfitri
AMALKAN pemakanan sihat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini supaya dapat mengekalkan kesihatan yang dianugerahkan dan sihat itu milik kita semua.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli yang turut diiringi oleh ketua-ketua agensi dan jabatan Negeri dan juga Persekutuan di sekitar Pekan Pauh, Arau.
Berangkat sama ialah anakanda bongsu Baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Kayuhan amal yang bertujuan untuk menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada para asnaf yang terpilih ini telah dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyempurnakan penyerahan agihan sumbangan daripada MAIPs kepada Fauziah Othman, 61 dari Kampung Paya Guring, serta Rokiah Chin, 73 dan Norma Salim, 67 dari Kampung Kubang Paya.
Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi meringankan beban mereka.
Cuaca dan keadaan yang hujan bukanlah penghalang buat Raja Muda untuk berkayuh dan turut meluangkan masa singgah melawat Bazar Ramadan Pauh untuk menyantuni dan beramah mesra bersama peniaga dan para pengunjung.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari menasihatkan untuk memastikan rakyat semua kekal sihat di musim perayaan, masyarakat mestilah sentiasa peka akan keselamatan makanan yang disediakan untuk tetamu di rumah mahupun di majlis-majlis rumah terbuka baik jabatan atau agensi, swasta mahupun di mana-mana sekalipun.
Apabila menyediakan juadah rumah terbuka, kita perlu pastikan amalan pengendalian makanan yang bersih dan selamat.
Sentiasa amalkan kebersihan diri di mana pastikan tangan dicuci sebelum mengendalikan makanan.
Bahan mentah haruslah segar dan dicuci dengan bersih.
Pastikan makanan dimasak sepenuhnya sehingga mendidih untuk elakkan keracunan makanan di musim perayaan.
Keselamatan makanan adalah tanggungjawab kita bersama’ tegas beliau.
Disamping itu, kebanyakan juadah di musim perayaan adalah berkalori tinggi kerana mengandungi gula, garam dan lemak yang agak tinggi.
Sehubungan itu, semua diingatkan untuk sentiasa bersederhana ketika mengambil hidangan dengan memilih makanan dalam saiz hidangan yang kecil supaya dapat menikmati pelbagai jenis makanan dan tidak melebihi keperluan kalori harian kita.
Tambah Dr Ismuni lagi, pilihlah air kosong berbanding air manis. – SM
BACA Elak diabetes rakyat disaran amal gaya hidup sihat – Raja Muda Perlis
BACA Pendidikan pemakanan ‘benteng awal’ anak atasi masalah bantut