NasionalPolitik

Amalan politik inklusif bawa kebaikan buat rakyat – Annuar

Langkah kerajaan memperkenalkan amalan politik secara inklusif bersama pembangkang bagi mencari titik persefahaman, akan membawa lebih kebaikan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata landskap politik masa kini, menuntut semua pihak untuk menerima realiti kewujudan bersama bertepatan konsep Keluarga Malaysia.

“Kalau dulu yang memerintah dan pembangkang ada jurang yang sangat besar…kita tak boleh duduk semeja, tak boleh berkongsi agenda bersama, masing-masing nak tunjuk dia lebih baik.

“Sekarang, kita cuba tukar dalam suasana falsafah Keluarga Malaysia, kita harus melaksanakan (politik bersifat inklusif) bukan sekadar beretorik,” katanya menerusi penampilan pertama bagi program “Bersama Annuar” di Twitter Spaces kendalian Bernama malam ini.

Annuar berkata dalam meraikan perbezaan pendapat semua pihak, kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama agar memastikan situasi politik yang tidak membawa kesejahteraaan dan kebaikan kepada negara dapat dielakkan.

Berbeza dengan situasi politik sebelum ini, Annuar berkata senario politik negara perlu bergerak ke arah politik matang dan mengutamakan keberhasilan, bukan semata-mata politik berpuak, fanatik, bersifat perkauman.

Oleh itu, beliau menyeru pemimpin-pemimpin politik membuka mata dan menerima hakikat untuk mengamalkan politik yang membawa ciri kekeluargaan, meskipun berbeza pendapat terhadap sesuatu perkara.

Ditanya mengenai pelaksanaan Undi 18, beliau menzahirkan keyakinan perkara itu boleh dilaksanakan pada pilihan raya akan datang sekali gus memberi peluang kepada belia untuk melibatkan diri dalam urusan kenegaraan sebagai pemilih dan wakil rakyat.

“Kalau dulu kita anggap 21 tahun sesuai untuk dilibatkan dalam hal-hal kenegaraan dan kalau bawah 21 tahun masih dianggap remaja.

“Sekarang kita dapati tahap kematangan rakyat sudah jauh berbeza dan rakyat cukup berpengetahuan, mempunyai pendedahan dalam bernegara…malah umur 18 sesuai dan boleh libatkan diri dalam kepimpinan,” katanya.

Menerusi program yang bersiaran selama satu jam mulai 9 malam ini, Annuar dapat berinteraksi dengan ‘followers’ atau pengikut Twitter @bernamadotcom yang kini mempunyai lebih 950,000 pengikut.

Program kendalian hos Bernama TV Wan Syahrina Wan Ab Rahman serta peneraju Bernama Radio Hanie Hamid ini akan bersiaran di Twitter Spaces setiap minggu sebanyak 12 episod hingga Disember.

Topik yang akan dirungkai pada minggu hadapan adalah ‘Survival Anak Seni’.

Spaces adalah ciri baharu diperkenalkan Twitter untuk pengguna akaun mengadakan perbualan dan perbincangan audio secara langsung bersama pengikut mereka di laman sosial berkenaan.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button