Ekonomi

Wasiyyah tawar perkhidmatan Pejabat Keluarga patuh syariah pertama di dunia

Syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia, Wasiyyah Shoppe Berhad menawarkan perkhidmatan Pejabat Keluarga patuh syariah pertama di dunia bagi pengurusan harta berjumlah RM30 juta dan ke atas.

Perkhidmatan Pejabat Keluarga tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh Wasiyyah Shoppe iaitu Wasiyyah Family Office Sdn Bhd.

Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah Family Office., Ariffin Sabirin berkata, walaupun perkhidmatan pengurusan harta peribadi bagi pelanggan bernilai tinggi sudah pun ditawarkan di Malaysia namun perkhidmatan yang patuh syariah sepenuhnya masih lagi belum ditawarkan di dunia.

“Melalui perkhidmatan ini, Wasiyyah Family Office akan mengambil alih pengurusan harta semasa pelanggan masih hidup. Jadi pelanggan menyerahkan hartanya untuk diuruskan dan Wasiyyah Family Office akan melibatkan profesional dari seluruh dunia bagi pengurusan harta tersebut.

“Kekuatan Wasiyyah Family Office adalah pulangan aset yang berkat. Ramai orang Islam, bukan kita nak kata dia tidak mahu pulangan pelaburan kerana kaedah konvensional memberi pulangan yang tinggi, mereka mahu, tetapi mereka faham bahawa apa yang lebih penting harta mereka diuruskan ikut kaedah syariah,” katanya.

Wasiyyah Family Office dilancarkan secara maya hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Wasiyyah Shoppe Berhad Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman.

Tambah Ariffin, terdapat antara 300 hingga 500 keluarga Islam di Malaysia yang mempunyai aset bernilai lebih RM30 juta dan Wasiyyah Shoppe Berhad sahaja mempunyai 30 pelanggan yang memilik nilai aset berjumlah RM30 juta.

Menurutnya, Wasiyyah Family Office menyasarkan Malaysia sebagai hub perkhidmatan Pejabat Keluarga patuh syriah di Asia. Pada ketika ini Singapura memegang peranan sebagai hub Pejabat Keluarga konvensional di rantau ini.

“Malaysia memang dikenali sebagai hub kewangan Islam dan mempunyai kedudukan strategik untuk mempromosikan perkhidmatan Pejabat Keluarga patuh syariah,” tambah Arifin.

Katanya, nilai perkhidmatan Pejabat Keluarga tahun ini dijangka berjumlah RM697 bilion di seluruh dunia.

Jelas beliau, Wasiyyah Family Office akan memastikan model perkhidmatan untuk setiap pelanggan adalah bersifat unik, ‘tailor-made’ dan dibangunkan khas untuk pelanggan tersebut sahaja.

Ia dibangunkan mengikut objektif dan keperluan, struktur keluarga, hasrat, lokasi harta, sasaran pulangan dan undang-undang yang berkaitan dengan harta tersebut.

Model perkhidmatan setiap pelanggan akan dibangunkan oleh satu pasukan yang terdiri dari pakar-pakar berlesen dan berpengalaman di dalam bidang masing-masing.

Katanya, model perkhidmatan tersebut kemudiannya akan disahkan oleh syarikat perunding syariah di negara terbabit sebagai patuh syariah mengikut standard syariah yang diterima pakai di peringkat antarabangsa.

Bagi sasaran tahun pertama, perkhidmatan Pejabat Keluarga patuh syriah Wasiyyah akan ditawarkan di negara-negara Asia Tengara dengan sasaran utama Indonesia yang mempunyai lebih 100,000 orang Islam mempunyai aset melebih RM30 juta.

Kemudian akan dikembangkan ke United Kingdom, Timur Tengah, Asia Tengah dan Turki dalam tempoh lima tahun akan datang.

Perkhidmatan Pejabat Keluarga dijangka akan menyumbang 15 peratus atau RM16.5 juta daripada keseluruhan pendapatan kumpulan Wasiyyah Shoppe sebanyak RM110 juta pada 2023.

Nilai aset pelanggan yang disasarkan diuruskan melalui perkhidmatan Pejabat Keluarga pula berjumlah AS$700 juta menjelang 2023.-SM

(Visited 314 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button