Ekonomi

Allianz Malaysia catat RM4.16 bilion GWP pada suku ketiga 2021 walaupun situasi pasaran mencabar

KUMPULAN Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) umum keputusannya untuk sembilan bulan pertama 2021.

Kumpulan telah mencatatkan RM4.16 bilion bagi Premium Bertulis Kasar (GWP) untuk sembilan bulan pertama 2021, kenaikan 4.3 peratus berbanding RM3.99 bilion dicatatkan pada tempoh yang sama pada 2020.

Jumlah Aset Keseluruhan Kumpulan meningkat 7.4 peratus kepada RM22.91 bilion setakat September 2021 berbanding RM21.33 bilion yang diraih tahun lepas, sementara Keuntungan Sebelum Cukai menurun 20.3 peratus kepada RM432.6 juta untuk sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding RM542.8 juta yang dicapai pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Zakri Khir, berkata: “Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran daripada pandemik, langkah-langkah kerajaan yang berterusan serta keadaan pasaran yang mencabar, perniagaan
insurans am dan hayat kami telah kembali pulih dan mencatatkan pertumbuhan yang menghasilkan keputusan berdaya tahan untuk Allianz dalam suku ketiga 2021.

“Bagi pihak Kumpulan, kami kekal merendah diri dan  berterima kasih kerana kami mampu kekal menguntungkan, terutamanya pada waktu sebegini.

“Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) serta situasi COVID-19 yang tidak menentu, kami akan terus berjaga-jaga, menggunakan strategi yang bukan sahaja akan menarik perniagaan dan keuntungan, tetapi juga berkhidmat kepada komuniti dengan lebih baik.”

Allianz General catat keputusan lebih baik dalam keputusan pengunderaitan dan keuntungan sebelum cukai Anak syarikat insurans am Allianz Malaysia; Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad (Allianz General) mencatatkan penurunan 0.6 peratus bagi GWP kepada RM1.79 bilion untuk sembilan bulan pertama 2021 dari RM1.80 bilion pada 2020.

Walau bagaimanapun, Keputusan Pengunderaitan Allianz General meningkat 22.3 peratus kepada RM188.5 juta untuk sembilan bulan pertama tahun ini dari RM154.1 juta yang diraih tahun lepas sementara Keuntungan Sebelum Cukai meningkat 7.0 peratus kepada  RM322.7 juta untuk sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding RM301.6 juta yang dicapai pada tempoh yang sama pada 2020.

Jumlah Aset setakat September 2021 adalah RM7.22 bilion, meningkat 1.1 peratus dari RM7.14 bilion pada 2020. Nisbah Gabungan Allianz General berada pada 88.2 peratus pada suku ketiga 2021, berbanding 89.7 peratus pada tempoh yang sama pada 2020.

“Suku ketiga 2021 menebus kembali kerugian akibat kawalan pergerakan pada bulan Jun tahun ini yang juga telah memberi kesan kepada penjualan kereta baharu. Dalam menarik perniagaan bukan motor, Allianz General telah melancarkan Allianz Business Shield, yang menawarkan pelan insurans yang boleh disuaikan serta perlindungan keuntungan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan kami, Syarikat telah menaik taraf perlindungannya untuk Allianz Motorcycle Plus (Komprehensif) dengan menambah bantuan tepi jalan percuma untuk motosikal 250cc.

“Selain itu, selari dengan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, kami juga melancarkan dua buah kempen yang sedang berlangsung – Kempen 111 Motosikal dan kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia untuk mempromosikan insurans mampu milik dan pada masa yang sama, memenuhi permintaan terpendam untuk insurans perjalanan,” Sean Wang, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General.

Allianz Life catat RM2.38 bilion GWP dan RM482.7 juta ANP Anak syarikat insurans hayat Kumpulan; Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) terus kekal berdaya tahan, dengan mencatatkan peningkatan 8.2 peratus GWP sebanyak RM2.38 bilion dari Januari hingga September tahun ini berbanding RM2.20 bilion yang diraih pada 2020.

Premium Peniagaan Baharu (ANP) Allianz Life meningkat sebanyak 32.6 peratus kepada RM482.7 juta untuk
sembilan bulan pertama 2021, berbanding RM364.1 juta yang dijana pada tempoh yang sama pada 2020.

Keuntungan Sebelum Cukai setakat September 2021 menurun 47.9 peratus kepada 132.4 juta berbanding RM254.1 juta yang dicapai pada 2020.

Jumlah Aset meningkat 10.5 peratus kepada RM15.27 bilion dari Januari hingga September tahun ini berbanding RM13.82 bilion pada 2020.

Berdasarkan statistik Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dari Januari hingga September 2021, Allianz Life telah memegang 9.2 peratus bahagian pasaran berbanding 7.9 peratus pada tempoh yang sama pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross, berkata: Beroperasi dalam keadaan pasaran yang begitu mencabar, strategi Allianz Life tahun ini adalah untuk terus berkhidmat memenuhi keperluan pelanggan kami dan mengembangkan perniagaan.
“Terima kasih kepada saluran bankasurans dan agensi yang berdedikasi, Syarikat mampu memberikan keputusan GWP dan ANP yang positif untuk suku ketiga 2021. Walau bagaimanapun, Keuntungan Sebelum Cukai yang lebih rendah, seperti suku-suku sebelum ini tahun ini, adalah hasil daripada peruntukan tuntutan yang lebih tinggi dan kerugian nilai saksama yang lebih tinggi ke atas pelaburan akibat kadar imbuhan yang lebih tinggi.

“Oleh itu, pihak pengurusan kekal yakin bahawa strategi yang digunakan telah membantu kami dalam  Menghadapi 2021 dengan stabil dan keputusan yang positif.”

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button