Ekonomi

Truecaller kini mempunyai 300 juta pengguna aktif di seluruh dunia

Truecaller, platform global terkemuka untuk mengesahkan kenalan dan menghalang komunikasi yang tidak diingini, telah mencatatkan satu pencapaian yang besar apabila meraih 300 juta pengguna aktif sebulan, mengukuhkan posisinya sebagai salah satu perkhidmatan pengesanan ID pemanggil dan pengesanan spam yang terbesar di dunia.

Dalam masa hanya setahun, Truecaller telah mendaftarkan 50 juta pengguna aktif baharu di seluruh dunia sejak Oktober 2020, seterusnya membangunkan jaringan keselamatan pengguna.

Setakat ini, Truecaller telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 42.5% di Malaysia, manakala pangkalan penggunanya di rantau Asia Tenggara menyaksikan pertumbuhan 62% pengguna aktif dalam tempoh yang sama.

Pencapaian 300 juta yang telah dicapai pada 22 November 2021 ini adalah bukti kepercayaan pengguna terhadap kebolehan Truecaller dalam melindungi mereka daripada kebarangkalian spam dan panggilan penipuan.

“Kami bermula dengan kecil namun sentiasa mempunyai impian yang besar untuk Truecaller. Kejayaan mencapai 300 juta pengguna aktif ini adalah satu pencapaian yang amat bermakna buat semua kakitangan kami yang telah memainkan peranan dalam menjadikan Truecaller sebuah platform yang hebat.

“Sejak sedekad lalu, pasukan kami telah bekerja keras untuk menjadikan Truecaller sebuah perkhidmatan yang penting seperti hari ini.

“Kami mempunyai strategi yang jelas untuk terus mengembangkan syarikat kami dengan membangunkan produk yang memberi pengalaman pengguna yang lebih baik, seterusnya menarik lebih banyak pengguna di masa hadapan,” kata Alan Mamedi, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Truecaller.

Menurut Laporan Spam Global Truecaller 2019, Malaysia berada pada kedudukan ke-19 dalam senarai negara-negara yang paling banyak menerima spam di seluruh dunia.

Data dari maklumat Truecaller menunjukkan bahawa kebanyakan panggilan spam adalah berkaitan kewangan (95%) dan insurans (50%). Kekerapan panggilan meningkat ke tahap di mana hampir setiap panggilan yang keempat adalah berkaitan spam.

Tahun ini, Truecaller menyedari peningkatan aktiviti spam di negara ini, lalu menjadikan Malaysia sebuah pasaran yang penting buatnya. Ini telah mengukuhkan misi jenama tersebut untuk membantu rakyat Malaysia berasa lebih selamat dan selesa semasa berkomunikasi, dengan halangan yang minimum dari segi panggilan spam dan penipuan melalui telefon.

Aplikasi Truecaller akan terus mempertingkatkan penawarannya dengan ciri-ciri baharu dan memberi pengalaman pengguna yang lebih baik. Truecaller telah dinaik taraf ke platform komunikasi yang besar, menawarkan pangggilan suara berkualiti tinggi melalui internet, mesej segera, perbualan kumpulan, pengkategorian SMS, penghalang spam SMS, dan sebagainya.

Truecaller Enterprise Solutions, sebuah perkhidmatan identiti disahkan untuk perniagaan yang sentiasa mendekati para pelanggannya adalah sebuah platform hebat yang memastikan komunikasi yang selamat untuk para pengguna dan jenama-jenama.

Baru-baru ini, Truecaller melaporkan kenaikan sebanyak 129% dalam hasil suku ketiga (Q3 2021) dalam laporan pendapatan pertamanya sebagai syarikat awam.

Syarikat tersebut telah melengkapkan penawaran awam awalnya (IPO) di Nasdaq Stockholm pada 8 Oktober 2021.

Truecaller disenarai sebagai App Pilihan Editor di Google Play Store dan 10 App Komunikasi Percuma Terbaik di Google App di Malaysia. AppAnnie pula telah meletakkan Truecaller sebagai app komunikasi terbaik di India, dan salah satu daripada tiga yang terbaik di Mesir dan Israel. App ini merupakan salah satu daripada 10 app terbaik di 20 negara lain termasuk Indonesia, Nigeria, dan Afrika Selatan.

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button