Allah sedang menguji PH semangat setia kawan
Allah sedang menguji Pakatan Harapan dengan satu ujian yang mencabar untuk melihat kejujuran dan kesabaran serta semangat setia kawan antara mereka.
Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Ahmad Awang berkata, ketika ini media sosial memainkan peranan yang penting dalam menentukan sama ada rakan-rakan dalam PH berjaya atau tidak mengharungi ujian yang sedang mereka alami.
Justeru beliau mengingatkan agar media sosial tidak dijadikan sebagai medan untuk mengadu domba dan memecahkan sesama dalam Pakatan Harapan.
“Sehubungan dengan itu, saya memohon semua ahli dan penyokong PH khasnya Amanah supaya berdoa agar kita sentiasa dilindungi Allah dan memandu jari jemari kita agar menulis sesuatu untuk menyatukan bukan untuk meruntuhkan perpaduan yang telah kita bina selama ini.
“Kita perlu bertenang, mengenali siapa musuh siapa kawan dan sentiasa tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat,” nasihat Ahmad.
- Jangan kegagalan capai kata sepakat hal penting buat rakyat muak
- Calon PM-9: PKR tolak Tun M, pilih Anwar
Ketika ini rakan-rakan dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR dan Amanah dalam persimpangan memilih calon perdana menteri ke-9.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan menolak cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-9.
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu kenyataan berkata, satu mesyuarat khas bersama ahli Parlimen parti itu sudah diadakan dan mereka sebulat suara memilih Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calonnya.
Kenyataan PKR itu kemudiannya dibalas oleh parti Amanah dan DAP yang mahu memilih Dr. Mahathir sebagai calon perdana menteri kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal memperoleh sokongan.
Kedua-dua parti itu berkata, Anwar hanya dijangka mampu mendapat sokongan maksimum 96 Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri, sementara usaha Presiden PKR itu untuk menarik sokongan dari Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak berjaya selepas tempoh dipersetujui tamat.-SM