fbpx
Politik

Agong wajar bertindak jika politik negara memburuk – Putra

YANG di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu diminta berbuat sesuatu jika situasi politik negara semakin tidak stabil.

Ini kerana wujud situasi tidak menentu dalam parti kerajaan dan juga pembangkang apabila terdapat kumpulan tertentu dalam kedua-dua pihak ketika ini.

Ekoran itu, kemungkinan wujud undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berisiko menjejaskan fungsi kerajaan.

Selain itu, kerisauan terhadap status Perikatan Nasional yang tidak didaftarkan juga bukan jaminan untuk wujudkan kerajaan stabil dan kuat apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kerajaan PN masih tidak tahu berapa banyak sokongan dalam Dewan Rakyat sehinggalah disahkan apabila bersidang nanti.

“Bererti ia berada dalam keadaan tidak menentu, kalau berlaku usul tidak percaya kepada Perdana Menteri sekarang ini.

“Apakah akan berlaku pada politik negara kita? Adakah Perdana Menteri akan menasihat Yang di-Pertuan Agong supaya diadakan PRU-15? Semuanya tidak menentu.”

BACA > Najib dedah surcaj TNB dinaikkan PH — Suara Merdeka

Demikian kenyataan Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra) Datuk Dr. Ibrahim Ali semalam selepas mengadakan mesyuarat bersama pimpinan peringkat negeri di Kompleks Damai, Kuala Lumpur.

Tambahnya lagi, kemungkian wujud pecahan dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) juga dilihat membawa senario politik ke arah lebih tidak stabil.

“Bukan sahaja itu malah dalam PN yang tidak didaftar kita dengar juga ada masalah.

“Kerana, mereka yang berada dalam PN adalah dua parti politik UMNO dan Pas yang menggelarkan diri mereka Muafakat Nasional (MN).

“Dua kumpulan lagi iaitu Bersatu Tan Sri Muhyiddin dan kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

“Jadi ada MN plus kumpulan Bersatu Muhyiddin dan Azmin Ali. Jadi empat gabungan ini bila ada PRU nanti bagaimanakan kerjasama mereka, pembahagian kerusi dan persefahaman.

“Atau mungkin banyak tidak puas hati di peringkat akar umbi. Begitu juga dari segi PH juga ada masalah di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama PKR, DAP dan Amanah dan juga kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga tidak menentu.

“Jadi dikalangan PH juga tidak menentu sama juga PN. Kita Putra mengambil maklum dan bimbang dengan masa hadapan negara.

BACA > Memorandum pindaan akta pemandu mabuk, dadah ke Kabinet minggu depan — Suara Merdeka

“Kita berharap fungsi dan peranan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu agar sentiasa mengambil berat dan perhatian yang serius mengikuti perkembangan semasa ini,” jelasnya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button