Politik

Alangkah tidak manisnya politik di Kimanis

Oleh Gunawan AS

SAYA menghidu rasa takut dan bimbang dalam kalangan pemimpin dan jentera Warisan. Bacaan terkini menunjukkan 53 peratus pengundi menyebelahi calon Barisan Nasional.

Para pemimpin Warisan dalam ucapan mereka semakin memasuki ranah rasis. Ini menandakan mereka semakin terdesak dan mula memainkan politik perkauman untuk menarik sokongan.

Selain sentimen Sabah untuk Sabah, yang lebih buruk adalah sentimen Kadazan, Dayak dan Murut.

Datuk Seri Shafie Apdal terang terangan melabelkan calon dari Barisan Nasional adalah calon dari Kuala Lumpur dan bukan dari Sabah dan berpresidenkan orang Perak iaitu merujuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Berbanding jika memilih calon Warisan yang presidennya adalah orang Sabah dan merupakan ketua menteri. Ugutan politik sedemikian sangat tidak manis apabila dimainkan di Kimanis.

Pemimpin Warisan menggambarkan kemasukan pemimpin dan parti dari Semenanjung Malaysia seolah-olah akan merugikan dan meminggirkan 32 kaum seperti Kadazandusun, Murut, Bajau dan Rungus di Sabah.

Isu itu dimainkan kerana UMNO dikatakan akan mengutamakan orang Melayu semata-mata berbanding kaum lain di negeri berkenaan.

Dari segi komposisi pengundi di Parlimen Kimanis majoriti adalah terdiri daripada kaum Melayu Brunei, tetapi sokongan kaum-kaum yang lain akan menjadi undi penentu.

Isu pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada pendatang tanpa izin di Sabah merupakan paling melekat di hati pengundi di Kimanis. Kebanjiran pendatang tanpa izin ini dikhuatiri akan merebut peluang pekerjaan dengan masyarakat tempatan dan pada masa yang sama dibimbangi digunakan oleh kerajaan negeri untuk memberi kerakyatan melalui pintu belakang semata-mata untuk menambah jumlah penyokong mereka.

Penduduk Melayu Brunei sangat tidak senang dengan dasar berkenaan, kerana isu itu akan menghakis pengaruh mereka di dalam politik dan menjejaskan ekonomi serta bakal menjadi punca pelbagai gejala sosial dan mengancam keselamatan negeri.

Politik perkauman sedemikian tidak sepatutnya diraikan di dalam era Malaysia baharu ketika majoriti rakyat mahukan kematangan dalam kalangan pemimpin politik.

Shafie pemimpin sepatutnya menjulang semangat kesederhanaan serta kebersamaan dan itulah semangat negeri di bawah bayu ini.

Beliau juga seharusnya menumpukan kepada pelan pembangunan negeri Sabah untuk masa depan kesejahteraan rakyat dan bukannya terus menerus menyalahkan kerajaan terdahulu bagi semua isu.

Perbuatan beliau ibarat meludah ke langit dan menepuh air di dalam dulang akhirnya beliau sendiri yang akan terkena kutukannya, kerana Shafie adalah menteri kabinet di dalam kerajaan terdahulu dan memegang portfolio pembangunan luar bandar untuk tempoh yang panjang.

Sedangkan rakyat Sabah sendiri dapat melihat bagaimana iltizam kerajaan terdahulu dalam menjayakan projek lebuh raya Pan Borneo yang walaupun baru siap kira-kira 25 peratus, tetapi telah merubah landskap Sabah dan telah mewujudkan kawasan pertumbuhan baharu.

Bayangkan apabila Sabah dan Sarawak dihubungkan dengan perhubungan yang terbaik dan ditambah pula dengan pembangunan ibu negara yang baharu Indonesia di Kalimantan iaitu dipindahkan dari Jakarta untuk tempoh tiga tahun lagi.

Limpahan daripada pembangunan itu akan menjadikan Sabah kota metropolitan.

Politik sempit yang dibawa oleh Shafie sebenarnya sangat merbahaya. Usaha mengasingkan negeri berkenaan dari Semenanjung Malaysia bukanlah politik yang sihat.

Dikhuatiri ketaatan Sabah akan beralih ke Indonesia apabila hubungan ekonomi dan politik lebih dekat dengan ibu negara jiran tersebut. Sebagai pemimpin yang matang harus melihat kesan tersebut.

Pemimpin Sabah perlu melihat kesan jauh ke hadapan dan bukan hanya memainkan isu semata-mata untuk memenangi pilihan raya kecil.

Apa guna menang pilihan raya kecil yang tidak merubah apa-apapun dan semata-mata untuk mengisi kekosongan wakil rakyat sahaja, tetapi kesannya hubungan antara kaum di negeri ini terjejas dan tumpuan ketaatan negeri juga melorot ke wilayah lain atau negara lain.

Politik kebencian dan perkauman tidak akan membolehkan seorang pemimpin mengekalkan kekuasan dan kewibawaannya. Ia akan menyebabkan hayat politik seorang pemimpin itu pendek, tetapi legasi negatif yang ditinggalkan akan diingat sampai bila-bila.

Sebagai orang yang menghormati Shafie saya menjadi murung apabila mendengar ucapan beliau dan beberapa pemimpin yang lain.

Kembalilah kepada politik sederhana iaitu memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat. Nescaya sokongan itu akan tiba, kalau tidak di Kimanis pun tetapi tentu lebih manis apabila menang untuk penggal kedua pada pilihan raya umum akan datang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button