Alang-alang menyeluk pekasam, eloklah UMNO bertanding solo PRU-15
SEINGAT Belang pada 17 Mac 2009, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti kerana didapati bersalah melanggar peraturan kempen pemilihan parti.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dalam satu sidang media khas di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn.
Dengan keputusan itu, persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden yang sebelum ini melibatkan tiga penjuru menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Mohd. Ali ketika itu berpeluang cerah menang jawatan nombor dua itu tetapi entah macam mana boleh `sangkut’ di lembaga disiplin parti.
Akhirnya pada Oktober 2009, Tan Sri Muhyiddin Yassin menang Timbalan Presiden UMNO selepas bersaing sengit dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.
Ketika itu sosek-sosek mengatakan Datuk Seri Najib Tun Razak yang baru mengambil alih Presiden UMNO daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), telah `membantu’ memudahkan laluan Muhyiddin meniti tangga hierarki parti itu. Dikatakan sebagai `membalas budi’ Muhyiddin yang membantu menurunkan Pak Lah setelah Barisan Nasional buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga dalam sejarah pilihan raya umum moden.
Begitu kisah politik sedekad yang lalu. Hari ini, Najib tidaklah sampai begitu sekali dibantu oleh Muhyiddin yang diperbualkan para penyokong Najib dan sebahagian ahli UMNO konon `melepaskan tengkuk sendiri’.
Bila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri kelapan 1 Mac lalu, sekutu UMNO yang rapat dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas pun ikut `menjulang’ Muhyiddin. Usaha Pas untuk `mengendeng’ dengan Muhyiddin nampaknya berjaya walaupun suatu ketika ada lontaran daripada sebelah Pas bahawa “Bersatu tidak ada, tetapi presidennya seorang Perdana Menteri”.
Dan kelihatannya menteri-menteri Pas termasuk yang raih kedudukan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) sudah terbuai dengan jawatan Kabinet yang tidak pernah mereka mimpi mendudukinya.
Seorang penyokong UMNO melontarkan dakwaannya kepada Belang: ” Dulu Pas `sapu’ duit UMNO, sekarang lebih kurang juga. Asalkan UMNO tak sentuh Kelantan, Terengganu dan Kedah, itu sudah cukup baik untuk presiden Pas. Pada masa sama juga Pas hendakkan `sesuatu dari Muhyiddin’ untuk kos gerakkan jentera pilihan raya mereka.
Dengan Pakatan Harapan pun sudah cacamarba dan Parti Bersatu pun sudah berserabut, dikusutkan lagi tanpa grassroot seperti Pas dan UMNO, maka mudah lah Pas `sapu keliling’.
Justeru, andai kata benar telahan ini, di mana kedudukan UMNO. Takkanlah UMNO `tunggu dan lihat’ sahaja.
UMNO mesti berjiwa besar yakin akan kekuatan parti tersebut. Tempoh hari UMNO yang menunjangi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 menang 79 kerusi.
Kalau ikut pecahan, BN parti memenangi kerusi terbanyak berbanding PKR, 49 kerusi, DAP (42), Pas (18), Bersatu (12), Parti Amanah Negara (11) dan Warisan (8).
Ditambah pula dengan tindak-tanduk Bersatu kebelakangan ini yang kelihatan `lepaskan tengkuk sendiri’ dengan cubaan memancing 11 ahli parlimen Amanah masuk MN melalui Bersatu. Barangkali kerana Pas membantah keras, Timnbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahudin Ayub tarik `hand brake’ menafikan cakap-cakap ini.
UMNO mesti menetapkan pendiriannya. Masuk gelanggang PRU-15 secara bersendiriankah atau terus bergabung dalam MN?
Jangan setelah membuat keputusan bersama MN, UMNO dipermainkan pula.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. – SM