Nasional

Akur harga ayam RM9.40 tapi minyak paket pula susah dibeli

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 1 Julai – Pelaksanaan harga siling ayam standard yang ditetapkan oleh kerajaan RM9.40 sekilogram berkuatkuasa hari ini dikatakan melegakan peniaga khususnya di Pasar Besar Melaka, Bachang dekat sini.

Kenaikan harga baharu daripada RM8.90 kepada RM9.40 menceriakan kembali peniaga untuk mencari keuntungan malah mereka juga turut memansuhkan caj pemotongan antara 50 hingga 80 sen seekor.

Di sebalik harga ayam kembali stabil, minyak masak paket bersubsidi pula bagaikan tiada penyelesaian kerana setiap hari sama ada di premis pasaraya atau kedai runcit sering kehabisan minyak paket untuk dibeli pengguna.

Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka meminta premis pasaraya di negeri ini untuk membuat unjuran penjualan minyak paket bersubsidi bagi memberi peluang kepada semua pihak membelinya.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, minyak paket itu dilaporkan sering habis dijual terutama di pasaraya di negeri ini seawal pukul 8.30 pagi disebabkan ia dibeli rata-ratanya oleh golongan peniaga dan bukannya pengguna lain.

Menurutnya, apabila orang ramai datang untuk membelinya, mereka mendapati minyak itu tidak ada lantas mereka terus memviralkan di media sosial bahawa bekalannya tidak mencukupi di pasaran.

“Bekalan minyak paket untuk pasaraya dan peniaga runcit adalah mencukupi di negeri ini kerana penghantarannya mengikut jadual oleh pihak pembekal mengikut kuota ditetapkan antara 200 kilogram bersamaan 50 kotak bagi satu premis.

“Bekalan ini dikatakan tidak cukup kerana minyak paket ini habis dijual di awal pagi setiap hari dan dibeli rata-ratanya oleh golongan peniaga dan bukannya pengguna lain.

“Sebagai contoh penjualan minyak paket di Pasaraya Lotus di Peringgit berjumlah 48 kotak mengandungi 816 paket telah habis dijual seawal pukul 8.30 hingga 9.00 pagi hari ini dan tinjauan mendapati petak penjualan minyak itu kosong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi walkbout meninjau pelaksanaan harga siling baharu bagi ayam, telur dan minyak masak botol di Pasar Besar Melaka di Bachang dan Pasaraya Lotus Peringgit di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan harga siling runcit baharu ayam standard RM9.40 sekilogram serta harga telur ayam bagi Semenanjung yang berkuat kuasa mulai hari ini akan dikekalkan untuk tempoh dua bulan.

Norena berkata, hasil daripada tinjauan di kedua-dua lokasi tersebut mendapati peniaga mematuhi arahan yang telah ditetapkan iaitu menjual ayam standard pada harga RM9.40 sekilogram manakala ayam super berharga RM10.40.

“Hasil tinjauan juga mendapati peniaga tidak lagi mengenakan caj pemotongan ayam yang sebelum ini dikenakan antara 50 hingga 80 sen seekor,” ujarnya.

Jelasnya, rata-rata peniaga berpuashati dengan keputusan kerajaan menaikkan harga siling ayam standard daripada RM8.90 kepada RM9.40 malah peniaga turut berjanji tidak akan menaikkan harga sewenang-wenang dan tidak mengenakan caj pemotongan.

Jelasnya, bukan menjadi satu kesalahan kepada peniaga ayam untuk mengenakan caj pemotongan ayam dan terpulang kepada pengguna sama ingin memotong ayam itu sendiri atau sebaliknya.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha katanya, bekalan ayam adalah mencukupi kerana setiap premis mempunyai bekalan purata antara 300 hingga 450 ekor satu hari.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button