Bola SepakSukan

Aksi PSG, Istanbul Basaksehir terhenti separuh jalan

Pengadil keempat didakwa bersikap perkauman terhadap penolong pengurus Basaksehir

PERLAWANAN Liga Juara-Juara antara Paris Saint-Germain (PSG) menentang Istanbul Basaksehir terhenti, selepas insiden perkauman didakwa berlaku sewaktu pertemuan itu sedang berlangsung, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Perbalahan telah berlaku di tepi padang sewaktu permainan memasuki minit ke-15 apabila suasana perlawanan bertukar tegang di Parc des Princes, berikutan pengadil keempat dipercayai menggunakan kata-kata berunsur perkauman terhadap penolong pengurus Istanbul Basaksehir, Pierre Webo.

Webo telah dibuang padang pada minit ke-14 selepas dia bertikam lidah dengan pengadil keempat, Sebastian Coltescu dari Romania.

Pemain Basaksehir telah bertindak meninggalkan padang selepas sekitar 22 minit pengadil perlawanan, pegawai kelab, staf kejurulatihan dan para pemain berbincang terhadap insiden yang mereka percaya telah berlaku.

Para pemain bersedia untuk menyambung semula perlawanan dengan syarat pengadil keempat ditukar, tetapi malangnya persetujuan gagal dicapai.

Perlawanan sepatutnya disambung semula pada minit ke-14, dengan pengadil yang baharu.

Menerusi kicauan di Twitter, hampir dua jam selepas itu, Istanbul mengesahkan mereka tidak akan masuk ke padang semula.

“Pada perlawanan di Paris Saint-Germain, para pemain kami memutuskan untuk tidak kembali masuk ke padang ekoran kata-kata perkauman yang dilemparkan oleh pengadil keempat, Sebastian Coltescu terhadap penolong jurulatih kami, Pierre Webo.”

Rakaman video menunjukkan Webo telah bertanya dalam nada marah mengapa Coltescu menggunakan perkataan ‘negru’, yang mana dalam bahasa Romania bermaksud hitam.

Bekas penyerang Chelsea, Demba Ba mengetuai rakan sepasukannya di tepi padang selepas beberapa minit perbincangan.

Penyerang gantian, Ba kedengaran telah berkata kepada pengadil: “Anda tidak pernah menggunakan ‘lelaki kulit putih ini’, anda berkata ‘lelaki ini’, jadi mengapa apabila anda menyatakan… dengar apa yang saya mahu nyatakan… jadi, mengapa anda hendak menjelaskan tentang lelaki kulit hitam, maka, anda perlu berkata ‘lelaki kulit hitam ini’?”

Sementara itu, sewaktu para pemain Istanbul beredar, pertahanan PSG, Presnel Kimpembe telah berkata: “Apa? Apa? Adakah dia serius? Kita masuk ke dalam. Cukup, kita masuk sahaja ke dalam.”

Istanbul telah menyiarkan di Twitter “Katakan tidak kepada perkauman” hanya beberapa minit selepas pertembungan itu.

Akaun Instagram milik Coltescu telah digodam, dengan ruangan bio telah digantikan dengan #notoracism.

Legenda Manchester United, Rio Ferdinand berkata kepada BT Sport: “Saya rasa kita kini berada dalam situasi yang cukup mengganggu.

“Sebelum ini, insiden perkauman telah berlaku di Millwall, kemudian, hari ini, dalam perlawanan di PSG, semuanya berlalu pada minggu yang sama.

“Belumpun seminggu berlalu, telah berlaku lagi insiden yang melibatkan perkauman dan kita kini berada pada tahap di mana sesuatu perlu dilakukan.

“Kuasa diperlukan untuk menetapkan pendirian yang tegas. Satu langkah perlu diambil ke arah laluan yang betul, kita perlu bersatu, tetapi tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan dibahu para pemain semata-mata.” – Mirror – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button