Akses internet, reka bentuk ekonomik adalah elemen baharu PPR
PERDANA Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) dan bersetuju untuk menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.
Menurut beliau, pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.
MPMMN merupakan platform bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat SATU KELUARGA SATU RUMAH.
Mesyuarat itu diadakan pada hari ini secara telesidang yang turut dihadiri oleh menteri-menteri besar dan ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri cabinet, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara.
Turut hadir wakil-wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri daripada Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun serta wakil pemaju perumahan swasta.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.
“Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan.
“Mesyuarat mahu supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan. Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik),” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.
“Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah.
“Kebimbingan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.
“Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua,” katanya.
MPMMN turut mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.
Jelas beliau, maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan.
Ismail Sabri menyeru semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran SATU KELUARGA SATU RUMAH dapat direalisasikan.
“Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual dengan harga yang berpatutan,” katanya. – SM