Politik

Maklumat tidak tepat Shahaniza beri kepada ketua partinya di Pahang- Jasri

KETUA BERSATU Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin tampil menjelaskan bahawa 31 orang pimpinan BERSATU Maran yang didakwa meninggalkan parti BERSATU sebenarnya ahli sebuah NGO di Maran manakala Siti Nora bukan Ketua Srikandi Bahagian Maran.

Jasri berkata demikian apabila tular di media sosial mengenai pengumuman yang dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang Datuk Sri Wan Rosdi bersama Ketua Umno Bahagian Maran Datuk Sri Shahaniza tentang pengisytiharan seramai 32 orang ‘pimpinan’ Bersatu Maran yang diketuai oleh Siti Nora yang mendakwa sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Maran meninggalkan Parti Bersatu untuk menyertai UMNO, pada Rabu lalu.

“Saya ingin memperbetulkan fakta yang tidak tepat mengenai kesemua 32 orang yang didakwa sebagai ahli Bersatu bahagian Maran oleh pengerusi perhubungan UMNO negeri Pahang dalam kenyataan medianya.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Siti Nora bukanlah Ketua Srikandi Bahagian Maran dan kesemua 31 orang lagi yang didakwa oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang sebenarnya ahli sebuah NGO di Maran.

“BERSATU Bahagian Maran tidak mempunyai rekod keahlian mereka. Hanya Siti Nora seorang sahaja yang menjadi ahli BERSATU Bahagian Maran sejak 10 April tahun lalu.

“Tetapi beliau tidak terpilih sebagai Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Maran di dalam persidangan dan pemilihan BERSATU bahagian Maran yang diadakan pada 28 November tahun lalu.

“Ketua Srikandi Bahagian Maran yang dipilih adalah Nur Amirah Shafiqah Mohamad Latipi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut berkata, sebagai sebuah parti politik di negara ini yang mengamalkan prinsip demokrasi,  mereka bersikap terbuka dan menghormati keputusan ahli yang ingin meninggalkan parti.

“Kami pimpinan Bersatu Bahagian Maran bersikap terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Siti Nora meninggalkan Parti BERSATU untuk menyertai UMNO ataupun mana-mana politik siasah sekalipun.

Menurut Jasri, Shahaniza tidak meneliti dan telah memberi maklumat yang salah dan tidak tepat kepada ketua partinya di negeri Pahang.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kepimpinan BERSATU Bahagian Maran yang terpilih pada persidangan tahunan yang lalu masih kekal utuh dan bergerak sebagai satu pasukan bersama Kepimpinan Srikandi dan Armada Bahagian. -SM

(Visited 619 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button