Akreditasi cerahkan peluang graduan UniMAP – Raja Muda Perlis
Pengiktirafan badan-badan akreditasi profesional bagi program-program akademik yang ditawarkan amat penting bagi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), terutama dalam memastikan bahawa siswazah yang dihasilkan memenuhi standard yang ditetapkan, justeru memberi mereka peluang yang amat tinggi untuk mendapat pekerjaan yang baik.
Sebagai contoh, pada tahun 2019 yang lalu, 12 Program Kejuruteraan di UniMAP telah mendapat akreditasi baharu iaitu sembilan daripadanya untuk tempoh enam tahun sementara tiga lagi untuk tempoh tiga tahun. Dua program lagi mendapat sambungan akreditasi bagi tempoh tiga tahun. Semua kejayaan ini membuktikan pengiktirafan terhadap UniMAP pada peringkat global oleh EAC di bawah Washington Accord.
Program Teknologi Kejuruteraan di UniMAP juga akan diakreditasi oleh pihak ETAC bermula pada tahun ini. Sekiranya semua berjalan lancar, program-program Teknologi Kejuruteraan di UniMAP akan mendapat pengiktirafan Sydney Accord. UniMAP juga masih dalam proses untuk mendapat pengiktirafan Dublin Accord bagi program Diploma Kejuruteraannya.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
selepas berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh pihak pengurusan syarikat Nusa Baiduri Sdn Bhd dari ibunegara di Galeri DiRaja Arau.
Delegasi tersebut yang berada di negeri ini bagi mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan UniMAP untuk menerokai pelbagai peluang kolaborasi secara bersama dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengarahnya terdiri daripada Abu Bakar Fikri Sulaiman, Datuk Mohamed Ridzuan Nor Mohammed dan Azaidi M. Lazim.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP lagi, dalam usaha memenuhi keperluan bakat dan tenaga kerja negara dan global, pada tahun 2019 yang lalu juga, UniMAP telah menawarkan program baharu yang selari dengan penekanan yang diberikan oleh kerajaan kepada TVET ke arah menghasilkan sumber manusia berkemahiran tinggi. Program-program tersebut ialah Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik Industri dengan Kepujian dan program Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik dengan Kepujian. Empat lagi program baharu yang telah mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2019 akan ditawarkan pada Sidang Akademik 2020-2021.
Ketika di Perlis, pengurusan syarikat berkenaan turut mengadakan pertemuan dengan pihak Bahagian Perancang Ekonomi Negeri dan juga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Mereka juga turut serta mengiringi Tuanku Raja Muda dalam program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke 25 bagi tahun 2020’ sejauh 12km yang bermula dan berakhir di perkarangan Taman Bunga Sakura, Tebing Tinggi bagi turut sama menyampaikan sumbangan kepada tiga orang asnaf terpilih selain singgah di Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Rumah Teduh, Kangar. – SM