Ekonomi

AKPK raikan rakan kolaborasi tema ‘Growing with Purpose’

AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah meraikan sumbangan berharga rakan-rakan kolaborasi dalam Majlis Anugerah Rakan Kolaborasi AKPK 2023/2024. Dengan tema ‘Growing with Purpose’, majlis ini menonjolkan peranan penting pihak-pihak strategik dalam memperkukuh literasi kewangan rakyat Malaysia melalui tiga perkhidmatan utama AKPK: pendidikan kewangan, nasihat kewangan, dan pengurusan kredit.

Majlis ini dimeriahkan dengan penyampaian anugerah oleh Pengerusi AKPK, Encik Anuar Mohd Hussan, sebagai tanda penghargaan terhadap usaha bersama yang telah berjaya membawa impak besar. Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, turut menegaskan pentingnya sinergi dalam kerjasama.

“Kerjasama ini adalah kunci kejayaan. Ia bukan sahaja membantu individu mengurus kewangan dengan lebih baik, malah membekalkan kemahiran untuk merealisasikan impian mereka. Usaha ini juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan masa depan kewangan generasi seterusnya.”

Pengiktirafan kepada Rakan Kolaborasi

Bank Simpanan Nasional (BSN) dianugerahkan Anugerah Usaha Sama Berimpak Penting atas dedikasi mereka memperhebatkan literasi kewangan di Malaysia. Kampung Kuala Wau, Maran, Pahang, pula menerima Anugerah Rakan Komuniti Cemerlang atas penglibatan aktif mereka dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AKPK.

Bagi anugerah utama, Bank Simpanan Nasional menerima Anugerah Usaha Sama Berimpak Penting untuk dedikasi mereka yang tidak berbelah bagi terhadap usaha memperhebat inisiatif literasi kewangan di Malaysia. Anugerah Rakan Komuniti Cemerlang yang buat pertama kali diperkenalkan, mengiktiraf Kampung Kuala Wau di Maran, Pahang, untuk penyertaan aktif dalam inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberikan impak kepada usaha pemerkasaan dan pembangunan literasi kewangan di kalangan komuniti.

Bagi kategori pengurusan kredit dan nasihat kewangan, Anugerah Rakan Kolaborasi Bersinergi dimenangi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Zakat Selangor dan TEKUN Nasional. Anugerah Rakan Usaha Sama Unggul dalam Penyelesaian Kredit dan Sokongan PKS pula dimenangi oleh RHB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad manakala Anugerah Pencapaian Kolaboratif Program Pengurusan Kredit menjadi milik CIMB Bank Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad.

 

Bagi kategori pendidikan kewangan, Anugerah Kecemerlangan Sokongan Untuk Usahawan Mikro dimenangi oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, Yayasan Hijrah dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad. Bagi kategori Usaha Sama Unggul, pemenang Anugerah Jangkauan Kerajaan & Komuniti ialah Persatuan Takaful Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah dan Jabatan Premier Sarawak. FGV Holdings Berhad, HSBC Bank Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad pula memenangi Anugerah Jangkauan Pejabat Korporat & Komuniti, sementara Anugerah Institusi Pengajian Tinggi menjadi milik Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti,  Universiti Teknologi MARA, dan Universiti Malaysia Terengganu. Bagi menghargai peranan penting kelab AKPK di institusi pengajian tinggi, Anugerah Kelab AKPK Dalam Literasi Kewangan dianugerahkan kepada Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik, dan Universiti UCSI.

 

Bagi kategori pembangunan penyelidikan, Persatuan Ekonomi Malaysia memenangi Anugerah Kecemerlangan Intelektual, Asia School of Business memenangi Anugerah Kecemerlangan Kolaborasi Antarabangsa, sementara Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia memenangi Anugerah Kecermelangan Penglibatan Dasar.

 

Bagi kategori jenama dan komunikasi, Anugerah Kecemerlangan Media Visual & Digital dimenangi oleh Astro Awani Network Sdn. Bhd., Anugerah Kecemerlangan Media Suara dan Digital dimenangi oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sementara Anugerah Kecemerlangan Media Cetak menjadi milik Utusan Malaysia. Satu lagi anugerah untuk sokongan jenama, Anugerah Amplifier Jenama Unggul, dimenangi oleh Kementerian Komunikasi.

 

Majlis anugerah itu merakamkan detik-detik bangga AKPK bersama rakan-rakan kolaborasi di atas mahupun di luar pentas, dan juga mesej utama AKPK kepada semua rakan kolaborasi tentang komitmen bersama untuk memperkasakan rakyat Malaysia pada setiap peringkat yang penting dalam kehidupan mereka. Dengan majlis anugerah ini yang bertemakan siri penerbitan baharu AKPK, ‘GROW’, buku-buku penerbitan ini turut dipamerkan sepanjang acara berlangsung. Buku siri GROW menyediakan panduan kewangan yang komprehensif dan mudah diikuti untuk memenuhi keperluan kewangan yang berbeza ketika umur belia, mula bekerja, mula berkeluarga sehinggalah umur persaraan.

 

Majlis Anugerah Rakan Kolaborasi AKPK menjadi majlis yang bermakna untuk mengakhiri tahun ini buat AKPK kerana ia juga memberikan kesempatan untuk memperbaharui dan mengukuhkan komitmen bersama untuk memberi impak pada tahun 2025 seperti yang ditegaskan oleh Azaddin;

 

“Marilah kita teruskan perjalanan ini dengan matlamat yang seiring, mengukuhkan komitmen kita terhadap satu sama lain. Bersama-sama, kita lebih berdaya maju, lebih inovatif, dan lebih memberi impak.”

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button