Akim Ahmad sertai Search buat kali kedua
Kejayaan persembahan Rockology Malaysian Tour 2021 Search X Akim di Melaka pada 10 April lalu memberi ruang dan peluang buat band legenda itu kembali ‘bernyawa’.
Malah, bagi meneruskan legasi kegemilangan empat dekad Search, penganjuran konsert Unplugged Search 40 Years yang dirancang pada September depan bakal mengubat kerinduan peminat band ini.
Menariknya, konsert itu memberi aura baru terhadap Search apabila sekali menampilkan penyanyi hebat, Akim Ahmad selaku vokalis di samping dua anggota Search iaitu Kid dan Din.
Penganjurnya, Aman Nassim menerusi COF Music berkata, pembaharuan yang ditampilkan pada konsert itu nanti memberikan satu lagi transisi berbeza Search agar terus gemilang dalam industri muzik tempatan.
“Konsert ini saya bekerjasama dengan Search. Bagi saya, mereka adalah band legenda yang perlu dihidupkan sampai bila-bila. Disebabkan itu, saya merancang untuk membawakan konsert istimewa ini. Malah, untuk mencari band yang bertahan sehingga empat dekad adalah susah.
“Jadi, menerusi konsert ini saya mahu memasarkan semula jenama Search kepada generasi muda hari ini. Mungin selama ini mereka hanya tahu beberapa lagu popular saja, sedangkan mereka ada banyak lagu hits.
“Disebabkan itu, menerusi konsert ini Search dan Akim akan membawakan 10 lagu popular yang jarang peminat muda tahu. Selain itu, apa yang paling penting adalah saya mahu peminat merasai aura baharu Search dengan adanya kemunculan Akim selaku vokalis.
“Saya percaya dengan bakat dan vokal dimiliki Akim, dia mampu menarik perhatian peminat dengan gaya nyanyian tersendiri,” katanya.
Aman berkata, konsert yang dirancang itu dijangka berlangsung di lokasi yang mampu menempatkan 300 hingga 500 penonton mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
“Tarikh dan lokasi tepat masih belum dapat ditetapkan sebab kita menunggu perkembangan semasa dalam negara. Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan digantikan dengan arahan lain beserta SOP baharu, ketika itu baharulah kita akan berbincang dan putuskan semua.
“Sekiranya persembahan secara bersemuka dapat dilaksanakan kira akan menjual tiket. Namun, buat masa sekarang apa yang pasti kita juga akan menjual tiket secara Live Streaming. Bagi peminat yang tidak dapat hadir, mereka boleh menonton secara dalam talian,” katanya.
Menurut Aman, antara tujuan lain penganjuran konsert itu adalah mahu menjenamakan juga syarikat COF Music yang diterajuinya.
“Tujuan lain penganjuran konsert ini adalah saya nak menjenamakan juga COF Music. Sebab sebelum ini kami banyak terbitkan lagu berunsurkan urban muzik. Dalam masa sama, saya tak boleh lepas pandang perkara yang legenda seperti muzik rock ini.
“Saya perlu juga konteks muzik yang pelbagai. Jadi, penganjuran konsert Search ini adalah permulaan buat COF Music maju ke depan. Mana tahu selepas ini kami boleh bawa semua muzik yang ada dalam Malaysia pula,” katanya.
Selain itu, Aman berkata COF Music mempunyai perancangan yang lebih besar buat Search selepas ini.
“Kalau ikutkan perbincangan dengan Abang Din, saya nak membawa konsert Search ke Indonesia dan Singapura. Seperti semua sedia maklum, mereka mempunyai kelompok peminat yang besar di dua negara itu.
“Tapi, disebabkan masing-masing negara masih bergelut dengan penularan Covid-19, jadi kita terpaksa tangguh dulu. Mana tahu tahun depan boleh ke luar negara, kita akan pergi.
Jadi, apabila COF Music ambil alih, perancangan untuk Search memang besar selain kami nak juga buat juga siri jelajah dalam negara,” katanya. -SM