Politik

Akar umbi jerit bubar, pemimpin pening kepala

AKAR umbi UMNO kini begitu ghairah selepas kemenangan besar pada pilihan raya negeri Johor yang berlalu, iaitu setelah turut mencapai kemenangan luar biasa pada pilihan raya negeri Melaka.

Terdapat video di media sosial ahli UMNO yang mahukan lebih banyak negeri dibubarkan dewan undangan negeri termasuk Perak dan Kedah, walaupun Kedah UMNO hanya mempunyai dua kerusi sahaja.

Ada juga yang mendesak kepimpinan Pas dan DAP serta PKR turut membubarkan dewan masing-masing bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pemerhati politik berpendapat dewan yang wajar dibubarkan bagi melihat kekuatan sebenar Barisan Nasional (BN) dan UMNO ialah di negeri Perak.

Jika BN sekali menang besar di Perak, bermakna UMNO dan BN benar-benar telah diterima oleh rakyat dan bukan hanya bergantung kepada kubu kuat serta jumlah pengundi yang mengundi rendah untuk mencapai kemenangan.

Selain itu perpecahan di dalam blok pembangkang memberi kelebihan BN untuk mencapai kemenangan.

Justeru ada juga yang menyarankan parti-parti pembangkang ini bergabung segera di bawah payung besar bagi menyekat kebangkitan BN serta merealisasikan kehendak majoriti rakyat menolak BN yang bergelumang dengan pemimpin yang berdepan tuduhan korupsi.

Kini para pemimpin blok pembangkang sedang pening untuk merapatkan kembali saf dalam kalangan pembangkang agar langkah sederap dan bertumpu.

Bagi UMNO mereka sendiri berdepan masalah kewangan untuk menghadapi pilihan raya dan memang terbukti pada dua pilihan raya negeri yang lalu para pemimpin UMNO yang terpaksa mendahulukan wang poket mereka.

Jumlah puluhan juta dan mungkin mencapai ratusan juta bukan kecil untuk dikumpul dalam masa singkat.

Malah jika diadakan pilihan raya umum dianggarkan BN memerlukan sekitar RM1 bilion ringgit untuk menggerakkan jenteranya di seluruh negara.

Jadi langkah mengadakan pilihan raya negeri terlebih dahulu dan selepas itu diikuti pilihan raya umum adalah kaedah yang terbaik buat UMNO dalam mencapai kemenangan dan mengumpul dana buat parti.

Contohnya di Melaka jika pilihan raya umum diadakan mereka hanya ada enam kerusi parlimen yang akan dipertandingkan kerana pilihan raya negeri telah selesai. Situasi ini lebih mudah dikendali dan tidak memeningkan.

Di Johor sendiri kita dapat lihat bagaimana pilihan raya berjalan dengan begitu lancar kerana apabila kerap pilihan raya diadakan ia tidak lagi menimbulkan situasi kekacauan.

Di negara tetangga Indonesia walaupun sistemnya agak berbeza, tetapi pilihan raya di peringkat daerah, negeri dan presiden berlangsung sepanjang penggal pemerintahan.

Ini lebih memudahkan kerana ia tidak terlalu kompak pada tempoh tertentu untuk mengadakan pilihan raya umum.

Situasi Malaysia kini seolah-olah menuju ke arah itu dan jika itu berlaku kita akan menyaksikan banyak lagi pilihan raya negeri akan berlaku sebelum mandat tamat pada 2023.

Pada masa yang sama kerajaan persekutuan tetap berjalan seperti biasa dan dapat terus menguruskan pemerintahan negara.

Namun sistem itu perlu diperlengkapkan dengan tempoh dua penggal sahaja seorang pemimpin boleh menjadi perdana menteri.

Mengapa ini penting, ialah bagi memastikan pada penggal pertama pemimpin berkenaan akan berusaha untuk memenangi hati rakyat yang memilih partinya dan penggal kedua dia boleh memberi tumpuan kepada pentadbiran negara kerana tidak lagi perlu memikirkan soal popularitinya kerana tidak lagi layak untuk menjadi perdana menteri.

Negara kita masih lagi dalam proses mencari titik keseimbangan selepas BN yang memerintah sekitar 60 tahun tumbang pada pilihan raya umum yang lalu dan pelbagai hal boleh berlaku.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button