AgamaRencana

Ajaibnya zakat perniagaan, dipermudahkan ketika hadapi kesukaran

Berniaga secara online, sampingan, tepi jalan juga wajib mengeluarkan zakat

ZAKAT adalah rukun Islam yang keempat. Rukun yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam apabila cukup syaratnya terhadap pendapatan, wang simpanan, emas, perak, saham, emas dan perniagaan.

Jumlahnya tidak banyak hanya 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan yang diperolehi seseorang apabila cukup masa setahun dan cukup nisbahnya.

Terdapat beberapa kejadian bagaimana dengan melunaskan zakat membantu seseorang dalam saat sukar.

Penolong Pengurus Besar Dakwah Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZWP) Khairulazhar Samsudin menceritakan bagaimana seorang ahli perniagaan yang menghadapi saat sukar begitu terdesak untuk membayar zakat selepas tidak pernah melaksanakan tuntutan agama tersebut.

Khairulazhar Samsudin

“Ahli perniagaan ini datang ke PPZWP. Ketika itu dia berhadapan dengan masalah selepas bayaran berjumlah RM500,000 yang sepatutnya diterima selepas melaksanakan kerja yang diamanahkan tidak dibayar. Duit itu sangat diperlukannya untuk membayar gaji pekerja dan hutang.

“Rakannya mengingatkan dia sama ada pernah mengeluarkan zakat atau tidak. Terdesak, dia hadir ke PPZWP untuk melunaskan zakat perniagaan yang tidak pernah ditunaikannya sejak memulakan perniagaan. Malangnya pada waktu itu dia hanya mempunyai sedikit wang.

“Bagi menenangkan hatinya kami menerima seadanya wang yang dia miliki. Sejurus dia membayar zakat, ketika mahu melangkah keluar telefonnya berdering dan mendapat perkhabaran baik bahawa wang pembayaran yang sangat diperlukan itu akan dimasukkan esoknya,” kata Khairulazhar dan menambah sejak dari hari tersebut ahli perniagaan tersebut tidak pernah lupa untuk membayar zakat.

Dalam era Revolusi Industri (IR) keempat di mana kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat dan dunia tidak lagi dihadkan oleh sempadan dan ruang, corak perniagaan telah berubah.

Dahulu perniagaan hanya boleh dilakukan secara fizikal dengan membuka gerai, kedai atau gedung perniagaan. Namun kini melalui internet, seorang suri rumah yang menjaga anak juga boleh mengambil bahagian secara aktif untuk melakukan perniagaan.

Melalui Facebook, Instagram dan TikTok mereka boleh mempromosikan produk jualan sambil memasak. Malah sambil menonton TV seseorang boleh menjalankan perniagaan di platform maya seperti Shopee dan Lazada.

Persoalannya, wajibkah seseorang yang membuat perniagaan secara sambilan tanpa membuka kedai secara fizikal mengeluarkan zakat?

Menjawab persoalan itu, Khairulazhar menjelaskan, setiap orang Islam yang berniat untuk berniaga termasuk suri rumah perlu melunaskan zakat perniagaan.

Tidak kira sama ada perniagaan itu dilakukan secara sampingan, kecil-kecilan atau ianya didaftarkan atau tidak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia semua yang diniatkan untuk perniagaan perlu mengeluarkan zakat.

“Takrifan zakat perniagaan adalah apa sahaja harta yang kita niatkan perniagaan dan adanya aktiviti jual beli antara penjual dan pengguna, maka di situlah ada zakat perniagaan.

“Ada suri rumah berniaga secara dalam talian, ada yang berniaga sambilan membuka gerai selepas habis bekerja, semua perlu mengeluarkan zakat apabila berniat untuk berniaga dan cukup syarat,” tegas Khairulazhar.

Katanya, ada enam syarat wajib zakat perniagaan iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab iaitu keuntungan melebihi RM20,300, cukup haul tempoh berniaga setahun dan mempunyai niat berniaga.

Jelas Khairulazhar, zakat yang dibayar akan dinikmati kepada lapan golongan yang amat memerlukan iaitu fakir, miskin, amil, muallaf, riqab atau hamba, gharimin iaitu orang Islam yang terbeban dengan hutang untuk memenuhi keperluah hidup dan golongan fisabilillah.

Bagi tahun ini sehingga Oktober lalu sejumlah RM600 juta dana zakat PPZ-MWAIWP telah diagihkan kepada golongan tersebut.

Tambah Khairulazhar, bagi umat Islam yang mengeluarkan zakat mereka mendapat manfaat dari segi pemotongan cukai pendapatan. Untuk mendapatkan keistimewaan potongan cukai tersebut, peniaga Islam perlu melunaskan zakat perniagaan sebelum 31 Disember setiap tahun.

Pembayaran zakat adalah mudah dan boleh dilakukan secara bersemuka di 10 kaunter PPZ-MAIWP yang dibuka dari pukul 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

Pembayaran juga oleh dilakukan secara dalam talian di www.zakat.com.my dan juga melalui kaunter bergerak yang dibuka oleh PPZ-MAIWP. Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi Talian Zakat 1-300-88-5757.-SM

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button