Aishah nyaris pitam nyanyikan lagu Siti Nurhaliza
TEKA teki siapa yang bakal menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu akhirnya terbongkar semalam dengan kehadiran Aishah yang menggantikan penyanyi asal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Lagu runut bagi drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu dinantikan oleh kelompok peminat Siti yang sudah meramal bahawa lagu tersebut bakal ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu.
Menyaksikan persembahan Aishah semalam, boleh disimpulkan bahawa penyanyi dengan pengalaman selama 34 tahun dalam industri muzik itu berjaya membawa lagu tersebut dengan baik.
Malah, cara pembawakan lagu tersebut tidak terlalu mengikut gaya nyanyian Siti sekaligus menjadikan lagu itu seolah-olah milik Aishah.
Namun, sebenarnya ada sesuatu yang berlaku di atas pentas ketika Aishah menyanyikan lagu tersebut kerana dia nyaris pitam.
“Tidak tahu sama ada saya terlalu fokus, penat atau kurang makan, tetapi ketika mula-mula menyanyi, saya angkat kepala sahaja terus rasa berpusing.
“Kepala saya pening dan badan saya rasa terhuyung hayang dari verse pertama dan verse kedua.
“Mungkin kerana terlalu fokus dan tarik nafas terlalu dalam sehingga saya merasakan sudah hilang keseimbangan badan ketika itu,” katanya.
Menurut Aishah, dia juga sempat berdoa dalam hati supaya tidak menjadi artis pertama yang pengsan ketika membuat persembahan di atas pentas.
Menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang menyeramkan, Aishah bersyukur kerana dia berjaya menghabiskan lagu tersebut.
Sementara itu, ruangan komen di akaun Instagram Siti juga dihujani dengan beberapa komen yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan dan nyanyian Aishah.
Menurut Aishah, mengkritik memang satu kerja yang mudah tetapi nak menyampaikan tugas itu tidaklah semudah yang disangka.
“Cakaplah apa sekali pun. Penghayatan tak sampailah, lagu lagendalah. Yang penting orang yang saya nyanyikan lagu ini (suami) sangat tersentuh,” jelasnya. -SM