AirAsia Allstars sertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi
LEBIH daripada 300 AirAsia Allstars telah menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di dua buah pusat vaksinasi Covid-19. Mereka bertugas sebagai sukarelawan bukan perubatan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Setia City.
AirAsia dalam satu kenyataan memberitahu, lebih daripada 1,000 Allstars bakal mengambil bahagian sebagai sukarelawan untuk menjayakan program vaksinasi negara dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Untuk memastikan pengalaman yang lancar kepada semua penerima vaksin, AirAsia Allstars yang terdiri daripada kru kabin, jurutera, kakitangan darat dan pegawai pejabat, serta pihak pengurusan akan menjalankan tugas bukan perubatan termasuklah mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin, pemeriksaan dokumen dan membantu mereka dalam proses pendaftaran. Selain itu, sukarelawan AirAsia Allstars juga ditugaskan untuk membuat pengumuman, dan memberikan taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami.
AirAsia juga menawarkan air mineral Pendang secara percuma kepada penerima vaksin di lokasi terlibat.
“Saya berbangga dengan kakitangan kami terutamanya kru kabin yang memang terlatih dan berkelayakan untuk membantu dan menangani situasi perubatan, selain menjalankan tugas kawalan orang ramai di pusat vaksinasi Covid-19. Saya percaya mereka teruja untuk kembali menyarung pakaian seragam dan melakukan tugas dengan sebaiknya untuk membantu orang ramai. Selain itu, ramai juga kakitangan pejabat termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif daripada pelbagai perniagaan kami seperti airasia farm, airasia money, Teleport dan e-dagang meluangkan masa mereka untuk membantu rakyat Malaysia mendapatkan vaksin,” kata Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group.
“AirAsia adalah syarikat untuk semua. Justeru, kami berbangga kerana dapat memainkan peranan untuk membantu kerajaan mempercepatkan kadar vaksinasi untuk mencapai sasaran 80% populasi yang telah divaksin pada akhir tahun ini,” tambah beliau.
“Kami komited untuk terus membantu masyarakat dalam apa jua cara dalam masa yang mencabar ini, dan mendorong lebih ramai orang untuk turut sama membantu mencapai sasaran vaksinasi negara.”
AirAsia juga terlibat dalam proses pengangkutan vaksin dari Kuala Lumpur ke Kuching di Malaysia dan ke Vientiane di Laos.
“Mengambil vaksin adalah cara utama untuk menjadikan Malaysia kembali seperti sedia kala dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada Allstars yang telah mendaftar dan menerima vaksin secepat mungkin. Semua kru penerbangan kami yang beroperasi di Indonesia telah divaksin dan kami menjangka sebahagian besar Allstars kami di rantau ini akan menerima vaksin dalam beberapa bulan akan datang.
“Sektor pelancongan dan perjalanan udara amat penting untuk pemulihan ekonomi negara. Program vaksinasi yang dilancarkan secara agresif dan cekap, ditambah pula dengan pendidikan yang lebih baik di kalangan masyarakat mengenai penerimaan vaksin, dan pasport kesihatan digital yang diseragamkan di seluruh dunia adalah kunci untuk pemulihan perjalanan udara.
“Secara kasarnya, kita memerlukan sekitar 50% populasi yang telah divaksin untuk memulakan perjalanan antarabangsa. Saya yakin bahawa kita dapat melakukannya dalam masa terdekat dengan kerja keras dan komitmen kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan dalam menangani wabak ini.”