Nasional

Air temenung: 14 keluarga ke PPS di SK Seri Mendapat

Seramai 14 mangsa daripada lima keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat, Jasin, Melaka yang dibuka sejak malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, lima keluarga yang terbabit adalah dari Kampung Lanchang, Parit Penghulu Benteng dan Kampung Tasek.

“Bagaimanapun setakat ini hanya penduduk yang terjejas dari Kampung Lanchang berada di PPS yang telah dibuka sejak pukul 8 malam tadi.

“Hujan pada awal pagi semalam ketika keadaan air pasang besar antara punca penduduk di beberapa rumah yang terjejas ini terpaksa dipindahkan ke PPS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat itu dibuka bermula pukul 8.00 malam tadi bagi menempatkan 14 mangsa daripada lima buah keluarga.

Menurut Kamarulsyah, banjir berpunca daripada hujan lebat sejak semalam yang mengakibatkan berlaku fenomena ‘air termenung’ berikutan hujan pada Isnin lalu tidak surut dan ditambah pertembungan air pasang besar.

Tambahnya, situasi itu mengakibatkan penduduk di beberapa buah rumah kawasan Kampung Lanchang terpaksa dipindahkan demi keselamatan mereka.

Bagi dua daerah lain katanya, tiada PPS dibuka Alor Gajah dan Melaka Tengah kerana berlaku banjir kilat dan air surut cepat.

“Namun pemantauan secara berkala terus dilakukan oleh anggota bertugas khususnya bila berlaku hujan lebat lebih daripada tiga jam,” jelasnya.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan, paras air di Sungai Kesang, di Telok Rimba Jasin melepas paras amaran dengan bacaan 3.43 meter.

Manakala, Lencongan Sungai Malim di Klebang Besar turut melepasi paras waspada dengan bacaan 1.51 meter setakat pukul 8.00 pagi tadi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button