Nasional

Air Selangor sediakan ujian saringan COVID-19 untuk petugas barisan hadapan

PENGURUSAN Air Selangor Sdn. Bhd., (Air Selangor) dalam usahanya untuk mengekalkan keselamatan dan kesihatan kakitangan serta pelanggan, menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas para petugas barisan hadapan mereka, bermula semalam.

Menurut kenyataan Air Selangor, ujian saringan kesihatan dibuat dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ia akan dilaksanakan apabila perlu dan kira-kira 900 kakitangan telah dikenal pasti di seluruh Pejabat Serantaunya untuk saringan, kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, para petugas barisan hadapan Air Selangor yang perlu menjalani ujian COVID-19 termasuk mereka yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Selain itu, petugas barisan hadapan yang terlibat dalam membaca meter, petugas keselamatan dan jawatan terpilih lain yang memerlukan mereka menjalankan tugasan berdekatan pelanggan serta orang awam, juga perlu menjalani ujian COVID-19, jelas kenyataan tersebut.

Inisiatif ini, jelas kenyataan yang sama, adalah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun oleh kerajaan yang mungkin meningkatkan penglibatan antara orang awam dengan pekerja Air Selangor.

Air Selangor turut menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Seksyen Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) pada 12 Mac bagi membantu kakitangannya menyediakan maklumat terkini, menjawab pertanyaan mengenai COVID-19 serta menjalankan prosedur nyah cemar di semua premisnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif berkaitan COVID-19 atau sebarang perkara berkaitan Air Selangor, sila hubungi 15300, WhatsApp ke 019-2800 919 or 019-2816 793, Media Sosial (Facebook, Twitter, and Instagram) dan e-mel Air Selangor ([email protected]). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button