Air: Pulau Pinang sedia ke mahkamah – Ramasamy
KERAJAAN Negeri PULAU Pinang pimpinan DAP sedia untuk bertemu dengan Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Pas berhubung isu pembayaran air yang melibatkan kedua-dua negeri itu.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy yang membalas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammed Sanusi Md Nor untuk membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.
Ramasamy berkata, Pulau Pinang tidak bimbang dengan langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah kerana yakin undang-undang menyebelahi negeri itu.
“Sekiranya perkara itu diserahkan ke mahkamah, kami dengan senang hati akan mengatasinya kerana kami mempunyai alasan yang baik untuk menyatakan mengapa Pulau Pinang tidak perlu membayar caj air mentah kerana air diambil dari seberang sungai kami.
“Kedua-dua perjanjian dua hala pada 1980-an yang disokong oleh Perlembagaan Persekutuan akan memberi kita kebaikan kerana tidak membayar Kedah.
“Tidak ada yang perlu dibimbangkan oleh Pulau Pinang kerana undang-undang ada di pihak kita,” kata Ramasamy dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Perai dari DAP itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai masalah untuk berbincang dalam hal-hal kepentingan bersama terutama di air.
Namun katanya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh diserang atau diancam dengan pemotongan bekalan air serta kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.
Ramasamy turut menyarankan agar Kerajaan Negeri Kedah membawa itu tersebut kepada Majlis Air Negara.
“Majlis Air Negara (MAN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tempat terbaik untuk mengatasi sekiranya terdapat masalah air antara Kedah dan Pulau Pinang.
“Sanusi, daripada menimbulkan rungutan dan tangisan mengenai Pulau Pinang tidak membayar caj air mentah, harus merujuk perkara itu kepada MAN,” kata Ramasamy.
Muhammad Sanusi sebelum ini berkata, pihaknya masih mahu menyelesaikan perkara itu secara rundingan.
Bagaimanapun Kerajaan Negeri Kedah tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.
“Sekarang kita runding dahulu di antara kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, lagipun kita sama-sama dalam Malaysia.
“Tetapi, sekiranya (temui) jalan buntu lagi, isu ini boleh dibawa ke mahkamah dan itu merupakan jalan terakhir yang akan diambil oleh kerajaan negeri,” katanya.-SM