Bidang kecerdasan buatan (AI) di Malaysia perlu diterapkan dengan nilai keilmuan turath (ilmu warisan) Islam dan tidak berpandukan acuan barat sepenuhnya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik BERNAMA, Perdana Menteri berkata kemahiran dan pembangunan kemajuan AI dalam negara, perlu diisi dengan khazanah ilmu serta legasi Islam untuk dijadikan korpus (himpunan bahan kajian), agar perkembangan teknologi itu seiring dengan adab dan akhlak.
Anwar berkata ilmu yang terkandung di dalam teknologi AI ketika ini berdasarkan bahan daripada barat, kerana teknologi itu dibangunkan oleh mereka.
“Kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital ialah kerana nilai dipupuk (dalam AI) itu adalah nilai dan pemikiran barat.
“Walaupun AI itu dianggap sebagai seolah-olah neutral kerana seluruh korpus ilmu boleh dimasukkan dan bila ada soalan, jawapannya itu nampak lengkap.
“Sebab itu, nilai turath ini mesti dimasukkan supaya AI yang ‘dimuntah’ dan diluahkan dari negara Islam itu tidak terpisah dari sistem dan nilai akhlak Islam,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam pada itu, Anwar turut berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana menganjurkan festival warisan Islam yang boleh dibanggakan untuk terus menghidupkan karya agung Islam, sekali gus menyuburkan budaya cintakan Ilmu dalam negara.
“Apa yang diusahakan di Selangor ini menarik dan ia mengekalkan satu tradisi (menuntut) ilmu cara lama seperti pondok dan syeikh (pengajar) datang membaca kitab dan mengupas kandungannya.
“Dunia media sosial kini ilmunya dalam satu ke tiga minit. Padahal dalam Islam, tradisi menuntut ilmu itu mesti membaca, menelaah dan menghayati,” katanya. – SM