Ahli Parlimen Mas Gading nafi lompat parti tinggalkan DAP, sertai PN
AHLI Parlimen Mas Gading, Sarawak, Mordi Bimbol menafikan akan meninggalkan DAP dan memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Katanya, khabar angin itu tidak benar dan beliau masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta Pakatan Harapan (PH) malah akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat di Mas Gading.
“Baru-baru ini, ramai yang telah dikejutkan dengan khabar angin bahawa saya bakal melompat untuk memberi sokongan kepada kerajaan.
“Saya tegaskan di sini, itu tidak benar. Saya masih teguh sebagai wakil rakyat DAP serta PH.
“Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tapi bukan prinsip saya. Saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat, tapi tanggungjawab dan yang menghantar saya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, meskipun mengharungi lautan politik Malaysia yang bergelora namun tidak pernah melunturkan semangat perjuangan bersama DAP.
“Walau sekuat mana sekalipun dipukul ombak kecaman, ditiup ribut tuduhan, kapal DAP tetap teguh menyusur lautan kebenaran. Pengalaman ini membuatkan saya bertambah yakin dengan kapal yang saya naiki selama ini.
“Walaupun tidak mewah, tetapi dikemudikan dengan jujur, adil, dan amanah. Bersama 41 orang ahli Parlimen DAP yang lain, kami akan terus kuat berpegang pada prinsip perjuangan parti dan mempertahankan mandat yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya.