Ahli DAP tanya adakah berlaku perang terbuka antara UMNO, Bersatu
SEORANG lagi Ahli Parlimen DAP bertanya adakah ketika ini berlaku perang terbuka antara UMNO dan Bersatu.
Jika semalam AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali menjangkakan UMNO akan mengkhianati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan parti yang diterajuinya, Bersatu.
Hari ini Ahli Parlimen Segambut bertanya, adakah berlaku perang terbuka antara UMNO dan Bersatu di Twitternya.
Open war now between UMNO and Bersatu in Perikatan Nasional? https://t.co/ezLKDuDBs2
— Hannah Yeoh (@hannahyeoh) July 11, 2020
Beliau membuat pertanyaan selepas Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Negeri Sembilan Senator Tan Sri Rais Yatim menegur UMNO kerana kerana “tidak menghargai” walaupun terdapat banyak jawatan yang diberikan kepada parti itu.
Rais menyatakan rasa terkilannya terhadap kepemimpinan UMNO yang dilihat lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi nanti berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.
Bekas menteri itu berkata, kecenderungan pemimpin UMNO khususnya yang senior memperkatakan kerusi dilihat seolah-olah tidak menghargai kedudukan parti itu dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut Rais, pemimpin-pemimpin senior UMNO sepatutnya lebih mengutamakan perjuangan mempertahankan kuasa Melayu Islam berbanding isu perebutan kerusi kerana usaha tersebut penting bagi mengekalkan kerajaan hari ini.
“Bab paling penting ialah mengekalkan kuasa Melayu Islam, tetapi Umno tidak menyebut perkara itu. Penghargaan diberikan kepada mereka juga seperti tidak dihargai,” kata Rais seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Sebelum itu, anggota parti DAP Sheikh Omar berkata, perang mulut antara Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dari Bersatu dan UMNO menunjukkan isyarat tidak wujud sama sekali kerjasama antara parti-parti yang mendukung kerajaan PN.
Sheikh Omar mendakwa, bagi UMNO, kewujudan Perikatan Nasional adalah satu bentuk senjata untuk UMNO merampas kuasa daripada Bersatu.
“Presiden dan mantan presiden UMNO sendiri secara terang-terangan membalas kenyataan Ahli Parlimen Mersing dari Bersatu itu dengan mengisytiharkan untuk mengambil kembali kerusi Parlimen Mersing.
“(Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Najib Tun Razak bukan sahaja memperbudak-budakkan orang-orang dan menteri Bersatu malah ia merupakan tamparan kepada Tan Sri Muhyiddin apabila kesilapan menterinya itu telah menjejaskan peluang Bersatu untuk mempertahankan kerusi parlimen Mersing,” kata Sheikh Omar.-SM