Agong tertakluk nasihat Kabinet, kata Mahkamah Persekutuan tolak saman Anwar
Lima hakim bersidang, Agong masih tertakluk kepada had-had Perlembagaan
Mahkamah Persekutuan hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat Kabinet ketika mengumumkan penghakiman sekali gus menolak saman yang dikemukakan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menuntut pengisytiharan Akta Majlis Keselamatan Negara sebagai tidak mengikut Perlembagaan.
Anwar menuntut pengisytiharan tersebut dengan alasan Akta MKN menjadi undang-undang berdasarkan “pindaan tidak berperlembagaan”, dan berikutan itu enakmen-enakmen di bawahnya melanggar Artikel 149 Perlembagaan serta Artikel 9 (2) mengenai kebebasan untuk bergerak.
Anwar merujuk pindaan Artikel 66 pada tahun 1994 ketika negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) di mana beliau menjadi timbalan perdana menteri ketika itu.
Pindaan tersebut menyatakan rang undang-undang yang diluluskan di Parlimen akan secara serta-merta menjadi undang-undang dalam masa 30 hari setelah ia dikemukakan kepada Agong, walaupun ketika ia tidak mendapat persetujuan raja.
Dalam penghakiman tersebut, lima hakim berkata Agong masih tertakluk kepada had-had Perlembagaan.
“Yang di-Pertuan Agong tidak diragukan merupakan Ketua Tertinggi Persekutuan berdasarkan Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan .
“Namun, Artikel 39 dan 40 Perlembagaan menetapkan bahawa Agong akan bertindak sesuai dengan nasihat Kabinet atau menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet melainkan dalam hal-hal di bawah budi bicara Agong sebagaimana yang termaktub dalam Klausa (2) Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan,” kata penghakiman yang ditulis oleh Zaleha Yusof, Zabariah Mohd Yusof, Hasnah Mohammed Hashim, Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.
Mahkamah selanjutnya berkata persetujuan raja tidak pernah menjadi sebahagian daripada tindakan eksekutif Agong.
“Ini adalah langkah terakhir proses perundangan sebelum rang undang-undang menjadi undang-undang,” tambahnya.
Keputusan hari ini tampil selepas perbahasan hangat mengenai kuasa Agong selepas gesaan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Jun supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin, selain beberapa tindakan kerajaan baru-baru ini dalam usaha membatalkan ordinan-ordinan darurat.