Agong harap pelantikan Ismail Sabri PM ke-9 akhiri kemelut politik
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri ke-9 dapat mengakhir kemelut politik.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Baginda turut berharap kesemua ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka Kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Ahmad Fadil.
Al-Sultan Abdullah turut mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi
akibat pandemik COVID-19.
Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhana Watala, dijauhi dari sebarang musibah dan
wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.
Al-Sultan Abdullah hari ini memberi perkenan melantik Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Istiadat Perngurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijadualkan pada 21 Ogos (Sabtu) pada jam 2.30 petang di Istana Negara.
Pelantikan itu dibuat selepas Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja petang tadi.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.
“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan Kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat,” kata Ahmad Fadil.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas memperoleh sokongan daripada 114 ahli Parlimen iaitu melebihi jumlah majoriti yang diperlukan bagi pelantikan jawatan tersebut.-SM