Politik

Agong perkenan lantik Ismail Sabri PM ke-9

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan pada Jumaat berkata, Istiadat Perngurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dijadualkan pada 21 Ogos (Sabtu) pada jam 2.30 petang di Istana Negara.

Menurut Ahmad Fadzil Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan pada 18 Ogos 2021 lalu.

Dari surat-surat akuan tersebut seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan.

“Susulan itu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob (Ahli Parlimen Bera) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara,”  katanya.

Majlis Raja-Raja Melayu mengadakan Perbincangan Khas petang tadi.

Inti pati perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang itu, terarah kepada perlantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri, selaras Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Perbincangan petang ini diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas, semalam

Sementara itu, perkara tersebut turut dimaklumkan oleh Bendahari Agung Barisan Nasional Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Facebooknya sebentar tadi.

“Tahniah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang telah diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

“Saya telah sebut beberapa hari lepas, perkara terpenting yang negara perlukan ketika ini ialah kestabilan. Ia demi membolehkan negara kembali menumpukan terhadap usaha menangani krisis #COVID19, memulihkan ekonomi serta membela kesejahteraan rakyat.

“InsyaAllah, saya akan bantu sebaiknya menerusi apa jua kapasiti yang saya ada demi kepentingan negara tercinta,” kata Hishammuddin di Facebook beliau.

Hishammuddin turut berkongsi poster mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri..-SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button