Agong harap MoU Kerajaan, PH akhiri kemelut politik
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan memorandun perserfahaman (MoU) yang termeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan akan mengakhiri kemelut politik di negara ini.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah berharap MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangi itu membolehkan ahli-ahli Parlimen mengetepikan agenda politik dan bersatu hati menangani pandemik Covid-19 demi kepentingan rakyat.
Al-Sultan Abdullah turut mengulangi pendirian bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ianya juga selaras dengan pendirian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan Kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihatkan ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini berlangsung,” kata Ahmad Fadil dalam satu kenyataan.
Menurut Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan bersyukur dan sukacita dengan MoU tersebut yang disifatkan Baginda sebagai pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti.
Al-Sultan Abdullah yakin proses pemulihan ekonomi dapat dipercepatkan selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan daripada kerajaan.
Faktor-faktor tersebut menurut Yang di-Pertuan Agong merupakan kunci kepada keyakinan semua pihak dan para pelabur.
Al-Sultan Abdullah juga menseru supaya penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan dipercepatkan bagi meningkatkan lagi daya saing negara.
“Seri Paduka mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.
“Seri Paduka Baginda turu menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindingan Allah, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak Covid-19 dapat dibendung serta diakhir dengan segera,” katanya.-SM