Nasional

Agong berharap petugas barisan hadapan Covid-19 terus cekal

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap wira dan wirawati barisan hadapan terus cekal dan tabah memerangi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19.

Al-Sultan Abdullah amat menyanjung tinggi pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka demi keselamatan rakyat dan memikul tanggungjawab membendung wabak Covid-19 dan merawat pesakit yang boleh meragut nyawa.

Baginda bertitah, petugas barisan hadapan ketika ini bukan sahaja letih memerah keringat tetapi juga keletihan dari segi mental.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmed Fadli Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar semangat kental dan daya juang yang tinggi petugas barisan hadapan tersebut dihargai oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Sesungguhnya, usaha-usaha gigih para petugas barisan hadapan bertugas tanpa henti dan bersabung nyawa di lapangan, klinik kesihatan, hospital, makmal dan semua fasiliti kesihatan mahupun di belakang tabir, demi menjami kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia sewajarnya dipuji dan terus dihargai.

Related Articles

“Demi tugas para wira dan wirawati negara ini bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, mereka juga terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak penularan wabak ini,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berdukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dalam tindak-tanduk harian khususnya terhadap pematuhan disiplin amalan kebiasaan baharu dan kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Baginda menyeru seluruh rakyat untuk menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan hadapan dengan bersama berganding bahu berdisiplin mematuhi semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Semoga dengan sokongan dan kerjasama rakyat jelata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa kita bukan sahaja mampu sekali lagi melandaikan lekuk kes-kes jangkitan COVID-19 harian.

“Malah mampu meringankan beban yang dipikul oleh para petugas barisan hadapan. Insya-Allah, kalau kita berusaha dan tawakal kepada Allah, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam negara ini dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kegusaran terhadap peningkatan keperluan rawatan rapi dan pengunaan katil ICU untuk pesakit-pesakit di hospital-hospital Covid-19 khususnya di Lembah Klang berikutan kenaikan secara mendadak kes-kes baharu.

Al-Sultan Abdullah mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar para petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi dan segala usaha yang kita lakukan dalam memerangi COVID-19 diberkati dan berjaya.

Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga negara ini sentiasa dilindungi dan bebas dari wabak ini dengan segera. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button